UZBEKISTAN merangka pelan untuk memperkasa usaha memerangi rasuah dengan matlamat meningkatkan kedudukan negara dalam indeks Transparency International sebanyak 50 mata menjelang 2030, kata Presiden Shavkat Mirziyoyev.
Dalam ucapannya di Anugerah Kecemerlangan Antirasuah Antarabangsa di Tashkent pada Selasa beliau berkata Uzbekistan komited untuk menggerakkan semua usaha dengan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah serta semua rakan antarabangsa dalam memerangi rasuah.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, indeks “Transparency International” Uzbekistan meningkat 42 mata dan mencapai kedudukan tertinggi di rantau ini,” katanya semasa acara itu.
Menurut laman web Indeks Persepsi Rasuah (CPI), Uzbekistan menduduki tempat ke-126 pada tahun 2022 dengan skor 31.
Beliau berkata perhatian khusus akan diberikan untuk memastikan ketelusan, meningkatkan akauntabiliti agensi awam, menambah baik sistem data terbuka dan memperkukuh mekanisme perundangan dan institusi.
Uzbekistan juga akan aktif menyokong dan mengambil bahagian dalam projek serantau dan global baharu yang bertujuan memerangi rasuah dengan memanfaatkan potensi Platform Serantau Konvensyen Menentang Rasuah.
Selain itu beliau mencadangkan penubuhan Pusat Penyelidikan Serantau bagi Masalah Rasuah untuk memudahkan pertukaran pengalaman, mengukuhkan dialog dan menjalankan kerja saintifik dengan melibatkan secara aktif pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dan bukan kerajaan.
Mirziyoyev berkata kapasiti Agensi Pencegah Rasuah Uzbekistan juga akan diperkukuh dengan memperkuat kerjasamanya dengan institusi asing yang serupa. – Bernama, 21 Disember, 2023.
Komen