2 beranak maut dalam kemalangan di Mersing


DUA beranak maut selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas dan berpusing sebelum dilanggar oleh sebuah lori dari arah sama di Kilometer 20 Jalan Nitar-Mersing di Mersing, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani berkata pemandu dan penumpang kereta jenis Perodua Viva Zubaidah Zakaria, 32, dan Uwais Rayyan Mohamad, 4, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada kepala. 

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kemalangan melibatkan kereta itu dan sebuah lori 10 tan jenis Nissan UD itu, kira-kira pukul 8 pagi. 

“Hasil siasatan mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu oleh Zubaidah dari arah Felda Nitar menuju ke Bandar Mersing telah hilang kawalan lalu terbabas dan berpusing, sebelum dilanggar oleh lori terbabit dari arah sama,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu, bomba dalam kenyataan berasingan memaklumkan dua beranak yang tersepit di dalam kereta tersebut dikeluarkan oleh Pasukan Keluaran Operasi dengan menggunakan peralatan khas.

Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Hussine berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.37 pagi sebelum dua jentera ‘Light Fire Rescue Tender’ (LFRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 15 anggota, digegaskan ke lokasi kejadian. 

“Jenazah Zubaidah dan Uwais Rayyan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, bagaimanapun, pemandu lori berkenaan Mohd Yazid Abidin, 40, hanya mengalami cedera ringan,” katanya. – Bernama, 20 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen