ABDUL Rashid Hussain, tokoh perniagaan dan pengasas kumpulan perbankan terkemuka RHB, dilantik sebagai pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Mengumumkan pelantikan itu dalam satu kenyataan hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mohktar berkata Rashid dilantik bagi menggantikan Azman Mokhtar.
“Sesungguhnya pengalaman luas sebagai seorang tokoh korporat amat berharga dalam meneruskan kecemerlangan TH sebagai institusi pengurusan haji bertaraf dunia di samping membantu dalam memacu usaha pengukuhan yang sedang dan terus berjalan,” katanya.
Rashid, yang kini merupakan Ahli Lembaga Gabenor Universiti Islam Antarabangsa, pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Bhd dari 1994 hingga 1998 dan Pengerusi Putrajaya Holdings (1995 hingga 2000).
Beliau turut diangkat sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023M atas sumbangan kepada negara dan masyarakat.
Rashid juga adalah antara enam ahli Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) TH yang dilantik Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Selain itu, Mohd Na’im berkata laporan RCI Bagi Menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi Lembaga Tabung Haji Dari Tahun 2014 hingga 2020 dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan.
Mohd Na’im turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Azman atas segala jasa bakti dan perkhidmatan terbaik dalam memimpin Lembaga Pengarah TH dan warga TH.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman dalam kenyataan berkata pelantikan Abdul Rashid diharap dapat menjadikan agensi itu sebagai institusi Islam yang dihormati atas pencapaian dan tadbir urus yang baik.
Beliau berkata ia seiring dengan mandat penubuhan TH iaitu bagi memudahkan umat Islam menyimpan untuk tujuan mengerjakan haji yang merupakan rukun Islam kelima.
Syed Hamadah turut menyatakan keyakinan bahawa usaha memperkukuh TH akan diteruskan dengan pengalaman dan kepimpinan pengerusi baharu itu.
“TH mengalu-alukan pelantikan ini dan bersyukur kerana menerima tokoh yang dihormati dan berpengalaman khususnya dalam bidang perniagaan dan beliau merupakan individu bertanggungjawab mengasaskan Kumpulan RHB, salah sebuah kumpulan perbankan terbesar negara,” katanya.
Pada masa sama, TH turut berterima kasih kepada Azman Mokhtar atas kepimpinan beliau sebagai pengerusi TH sejak 20 Disember 2021.
“Beliau berjaya memastikan kedudukan kewangan TH lebih kukuh dengan mencatat jumlah deposit sehingga 30 November 2023 sebanyak RM 88.9 billion, peningkatan hampir tujuh peratus berbanding RM83.3 billion pada 1 Januari 2022,” menurut kenyataan itu. – Bernama, 20 Disember, 2023.
Komen