Sabah negeri terbaharu terjejas banjir, Kelantan beransur pulih


SABAH menjadi negeri terbaru terjejas banjir pagi ini manakala keadaan di Kelantan beransur pulih dengan jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan.

Di Selangor dan Perak pula jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS kekal setakat pagi ini berbanding malam tadi.    

Di SABAH, 17 orang daripada empat keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pertanian, Batu 25 di Sandakan setakat 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan bencana banjir berlaku di kawasan Batu 25 dipercayai akibat hujan lebat di kawasan itu lewat petang semalam.

“Cuaca pada pagi ini cerah di seluruh Sabah namun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir di satu atau dua tempat di negeri ini pada tengah hari serta petang ini,” menurut kenyataan itu.

Di KELANTAN jumlah mangsa banjir termenung di jajahan Pasir Mas yang ditempatkan di 10 PPS berkurangan kepada 3,230 orang daripada 990 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 3,240 orang daripada 992 keluarga malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 10 PPS terbabit ialah SK Gual Tinggi, SK Gual To’Deh, SMK Gual Periok, SMK Baroh Pial, SK Kedai Tanjong, SK Gual Periok, Madrasah Tasek Bakong, Masjid Mukim Padang Licin, SK Sri Kiambang dan SMK (A) Pohon Buluh.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan kekal 64 orang daripada 17 keluarga setakat 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak memaklumkan kawasan terjejas banjir juga kekal melibatkan daerah Hilir Perak membabitkan kawasan Batu 9, Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Lorong Sidang Osman, Batu 7, Batu 8, Lorong Imam Khairi dan Lorong Mesra.

Sekretariat itu turut memaklumkan paras air di Sungai Bidor, Changkat Jong mencatatkan bacaan bahaya pada 3.55 meter ketika ini dengan cuaca di daerah Hilir Perak diramalkan hujan pada petang dan malam ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan berkenaan laporan tanah runtuh di Selama, laluan A021 Jalan Kubu Gajah-Ijok Sumpitan dibuka kepada semua kenderaan setelah kerja pembersihan dijalankan dengan Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid sebagai laluan alternatif.

Laluan FT 1152 Felda Trolak Selatan di Batang Padang dibuka satu lorong kepada semua kenderaan berikutan pembaikan jalan utama perlu dilakukan segera susulan keadaan bahu jalan yang runtuh.

Di SELANGOR, menurut Info Bencana JKM, jumlah mangsa banjir di negeri itu kekal 25 mangsa melibatkan lapan keluarga setakat pagi ini dengan kesemuanya ditempatkan di PPS SK Sultan Abdul Aziz Shah di Kuala Selangor yang mula dibuka sejak dua hari lepas. – Bernama, 20 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen