Pasukan Indira Gandhi mahu jumpa KPN berhubung kehilangan anak


Pasukan Tindakan Indira Gandhi akan menghantar surat kepada Bukit Aman bagi memohon pertemuan dengan ketua polis negara, untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kes 14 tahun itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2023.

PASUKAN Bertindak Indira Gandhi (Ingat) akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara (KPN), Razarusin Husain atau timbalannya untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai usaha polis mencari anak Indira yang hilang, Prasana Diksa.

Pengerusi Ingat Arun Dorasamy berkata beliau akan menulis surat kepada Bukit Aman untuk bertemu Razarudin atau timbalannya Ayob Khan Mydin Pitchay tidak lama lagi.

“Ini akan menjadi KPN ketujuh yang akan mengendalikan perkara ini tetapi masih tiada keadilan untuk Indira, meskipun Mahkamah Persekutuan sudah membuat penghakiman.

“Tahun sudah berlalu dan KPN terus berganti, tetapi Indira masih belum mendapat sebarang jawapan.

“Kami akan meneruskan usaha untuk bertemu dengan KPN atau timbalannya bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai Prasana,” kata Arun kepada The Malaysian Insight.

Arun juga berkata beliau akan bertemu M Kulasegaran, timbalan menteri yang baru dilantik di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) berhubung perkara ini.

Katanya, Ahli Parlimen Ipoh Barat itu adalah peguam yang mewakili Indira berhubung kes penukaran agama unilateral anak-anaknya.

“Kulasegaran mempunyai pengetahuan yang cukup luas mengenai perkara itu kerana beliau adalah peguam yang mengendalikan kes Indira sebelum ini.

“Dengan Kulasegaran kini menjadi timbalan, kami berharap mendapat maklumat terkini mengenai perkara itu,” katanya.

Indira, bekas guru tadika, bergelut menuntut keadilan dengan pihak berkuasa dalam usaha untuk mendapatkan semula anak perempuannya Prasana, yang dibawa lari bekas suaminya K Padmanathan, yang memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada Muhammad Riduan, ketika anaknya baru berusia 11 bulan. – 20 Disember, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen