Rekahan gunung berapi di Iceland cecah 4KM


Rekahan di gunung berapi di barat daya Semenanjung Reykjanes, Iceland terus sudah mencecah hingga empat kilometer menjelang awal pagi. – Gambar AFP, 20 Disember, 2023.

GUNUNG berapi di barat daya Semenanjung Reykjanes, Iceland terus memuntahkan laharnya semalam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Semua jalan menuju Grindavik ditutup dan pihak polis menyeru orang ramai supaya menjauhi kawasan itu serta memberi amaran gas yang terhasil boleh menjadi toksik.

Bagaimanapun trafik udara di Iceland tidak terjejas.

Letusan bermula pada petang Isnin di utara bandar Grindavik dan sebelum ini seramai 4,000 penduduk dipindahkan pada November sebagai langkah awal.

Menurut ahli vulkanologi Armann Hoskuldsson, rekahan di gunung berapi sudah mencecah hingga empat kilometer menjelang awal pagi.

Rekahan itu jauh lebih panjang berbanding letusan di Semenanjung Reykjanes sejak tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Aliran lahar juga jauh lebih besar iaitu sekitar 100 hingga 200 meter padu sesaat.

Hoskuldsson menganggarkan letusan akan berlangsung selama tujuh hingga 10 hari.

Letusan itu juga menyebabkan penutupan sementara Blue Lagoon iaitu antara pusat tarikan pelancong paling terkenal di Iceland. – Bernama, 20 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen