Covid-19: Pelitup muka tidak wajib dalam pengangkutan awam, kata Loke


Kata Loke, ketetapan berkait pemakaian pelitup muka hanya boleh dibuat KKM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2023.

MESKIPUN pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan dalam pengangkutan awam buat masa ini namun, orang ramai digalakkan memakainya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata pemakaian pelitup digalakkan semasa orang ramai berada di dalam mana-mana pengangkutan awam berikutan peningkatan kes baharu Covid-19 yang dilaporkan sejak kebelakangan ini di seluruh negara.

“Sebarang dasar atau peraturan berkenaan pemakaian pelitup muka ini hanya boleh ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Kementerian Pengangkutan tidak akan menetapkan dasar kita sendiri (berkaitan hal ini).

“Setakat ini, tidak ada kewajipan (memakai pelitup muka semasa berada dalam pengangkutan awam), kita hanya menggalakkan. Jadi, itu terpulang kepada penumpang atau orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kerjasama dan Pertukaran Serantau Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu China (ChongQing)-Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata keadaan semasa kes Covid-19 di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada susulan pengukuhan Pelan Pengurusan Covid-19 KKM.

Dzulkefly berkata kerajaan juga tidak bercadang mengulangi sekatan yang pernah dilaksanakan sebelum ini seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun berlaku peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Kes Covid-19 yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-50 iaitu dari 10 hingga 16 Disember adalah 20,696 kes iaitu peningkatan 62.2 % berbanding 12,757 kes pada ME49. – Bernama, 19 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen