Allahyarham Sulaiman peguam yang berpegang pada prinsip keadilan, kata PM


Allahyarham Sulaiman Abdullah meninggal dunia semalam. – Gambar Facebook, 19 Disember, 2023.

BEKAS Presiden Majlis Peguam Malaysia Sulaiman Abdullah yang meninggal dunia semalam merupakan seorang yang teguh berpegang kepada prinsip keadilan dan hak asasi manusia.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi catatan di X, mengakui Allahyarham Sulaiman bukan hanya seorang peguam malah sahabat akrab yang bersamanya dan keluarga pada tahun-tahun gelap serta getir.

Anwar berkata fikrah dan nurani Sulaiman yang teguh kepada prinsip keadilan dan hak asasi manusia tidak dapat disangkal sesiapa.

“Saya amat terkesan kerana menerima berita ini ketika masih di Tokyo, Jepun untuk lawatan kerja, mendoakan keluarganya diberi kecekalan yang ampuh, diampun segala dosanya serta diberi tempat istimewa di sisi Allah SWT,” kata Anwar.

Perdana Menteri berada di Tokyo sejak 15 Disember lepas bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun selain Sidang Kemuncak Komuniti Sifar Emisi Asia.

Sulaiman, 77 pernah menjadi Presiden Majlis Peguam Malaysia dari 2000 hingga 2001 selain banyak terlibat dalam kes-kes berprofil tinggi antaranya mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak pada 2018.

Selain itu, allahyarham juga terlibat dalam pasukan pembelaan membabitkan kes Anwar serta krisis perlembagaan Perak susulan penyingkiran bekas menteri besar Perak Mohd Nizar Jamaluddin pada 2009. – Bernama, 19 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen