PIHAK Berkuasa Terusan Suez (SCA) Mesir berkata pihaknya kini memantau rapat impak ketegangan tentera di Laut Merah, susulan tindakan syarikat perkapalan utama kini mengambil laluan alternatif atas faktor keselamatan.
Pengerusi SCA Osama Rabie dalam satu kenyataan berkata trafik maritim di terusan yang menghubungkan Mediterranean dan Laut Merah itu masih dalam situasi normal, namun SCA sedang menilai impak syarikat perkapalan tertentu yang beralih sementara laluan mereka ke Cape of Good Hope (Tanjung Harapan), lapor Xinhua.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, sekurang-kurangnya empat firma pengangkutan utama telah mengurangkan atau menangguhkan pengangkutan di Laut Merah berikutan serangan berulang Houthi ke atas kapal komersial di kawasan itu sejak tercetusnya konflik Israel-Hamas pada 7 Oktober.
Rabie berkata hanya 55 kapal mengubah laluan melalui Tanjung Harapan sejak 19 November berbanding 2,128 kapal melalui Terusan Suez dalam tempoh itu.
Beliau berkata 77 kapal menggunakan Terusan Suez pada Ahad, termasuk beberapa kapal milik syarikat perkapalan yang mengumumkan lencongan sementara.
Rabie berkata Terusan Suez akan kekal sebagai laluan terpantas dan terpendek bagi kapal yang membuat transit antara Asia dan Eropah dengan penjimatan masa antara sembilan hari hingga dua minggu, bergantung kepada pelepasan dan ketibaan.
Sebagai syarikat perkapalan pertama yang dimaklumkan mengenai serangan itu, syarikat logistik utama Denmark Maersk pada Jumaat menasihatkan kumpulan kapalnya supaya menghentikan semua pelayaran melalui Selat Bab al-Mandab.
Laluan berhampiran Yaman itu mempunyai kepentingan strategik yang sangat besar, berfungsi sebagai pusat utama penghantaran minyak global dan sebagai pintu masuk penting ke Terusan Suez.
Maersk memetik kebimbangan mengenai “keadaan yang semakin merosot” dan “risiko serius” terhadap keselamatan kapal dan anak kapal.
Keputusan berkenaan mungkin akan memberi kesan kepada rantaian bekalan global, memandangkan syarikat itu memiliki antara armada kapal kontena terbesar di dunia.
Peneraju perkapalan lain termasuk MSC Switzerland, CMA CGM Perancis dan Hapag-Lloyd Jerman, juga mengikuti langkah itu untuk keselamatan maritim.
Pada Sabtu, MSC berkata kapal kontenanya MSC PALATIUM III yang menggunakan kapal sewa Messia Line, telah diserang pada kira-kira 9.37 pagi GMT Jumaat semasa transit di Laut Merah, mendorongnya untuk menghentikan transit melalui Terusan Suez sehingga laluan Laut Merah selamat.
Houthi mengaku bertanggungjawab ke atas beberapa serangan peluru berpandu rentas sempadan ke arah Israel, merampas dan menyerang kapal-kapal komersial ke Israel di Laut Merah sejak konflik Gaza.
Terusan Suez, yang membawa 12% perdagangan global, merupakan antara sumber utama mata wang asing Mesir. – Bernama, 19 Disember, 2023.
Komen