Pendakwaan kes 1MDB akan panggil Jasmine Loo


Saksi berkata, bekas peguam 1MDB Jasmine Loo akan menjadi saksi penting untuk mendedahkan semua isu mengenai Tanore Finance Corporation. – Gambar Facebook, 18 Disember, 2023.

PIHAK pendakwaan dalam perbicaraan kes Najib Razak membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan akan dipanggil  memberi keterangan dalam kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pihak pendakwaan bercadang untuk memanggil Loo selepas mengambil kira keterangan Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram ACP Foo Wei Min, yang mempunyai kaitan dengan wanita itu (Loo).

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata perkembangan ini adalah suatu yang baharu.

Pada 16 November, Foo memberi keterangan Loo akan menjadi saksi penting untuk mendedahkan semua isu mengenai Tanore Finance Corporation, sebuah entiti yang memindahkan AS$681 juta ke dalam akaun peribadi Najib dan dikatakan dikawal oleh rakan kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Foo juga bersetuju dengan cadangan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib bahawa keterangan Loo boleh sama ada membawa kesan buruk atau membebaskannya dari segi isu yang berkaitan dengan operasi Tanore.

Foo turut memberi keterangan Loo adalah pembantu peribadi kepada Jho Low.

Pada 12 Julai, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Loo ditahan polis pada 7 Julai bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana 1MDB.

Pada prosiding hari ini, Shafee memaklumkan mahkamah beliau masih perlu menyoal balas saksi pendakwaan ke-46 iaitu bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Dr Zeti Akhtar Aziz, dan bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir.

“Yang Arif, saya akan menyoal balas kedua-dua mereka (Zeti dan Azmi) selepas saya menyoal pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin,” kata Shafee.

Seperti yang dilaporkan minggu lepas, Nur Aida masih dikuarantin selepas dijangkiti virus Covid-19 dan perbicaraan hari ini hanya mendengar keterangan penganalisis BNM Adam Ariff Mohd Roslan.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung 2 Januari, 2024. – Bernama, 18 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen