SENNAR dan negeri di utara Sudan mengisytiharkan darurat pada Ahad selepas pertempuran tercetus antara Angkatan Bersenjata Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
Gabenor Sennar Tawfik Mohamed Ali Abdallah mengisytiharkan darurat dan perintah berkurung antara 7 malam dan 5 pagi waktu tempatan, Agensi Anadolu memetik laporan Agensi Berita Sudan SUNA.
Abdallah yang memutuskan untuk membentuk “sel keselamatan” daripada tentera, polis dan pasukan keselamatan berkata mereka akan merampas semua motosikal dan kereta tanpa lesen.
Beliau berkata kerajaan Sennar bersedia menghadapi bahaya dan akan memantau pintu masuk dan keluar negeri itu serta tidak bertolak ansur dalam memerangi pemberontak (RSF).
“Sesiapa yang berani berkomplot dengan pemberontak akan diperlakukan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang,” katanya.
Di negeri di utara Sudan, Gabenor Abdeen Awadallah Mohamed mengisytiharkan darurat dan mengeluarkan dekri yang mengenakan perintah berkurung antara 8 malam dan 5 pagi waktu tempatan.
Menurut PBB lebih 12,000 orang telah terbunuh manakala lebih 33,000 lagi cedera akibat konflik antara tentera yang diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan RSF.
Konflik itu juga mengakibatkan kira-kira 25 juta orang atau separuh daripada penduduk Sudan, memerlukan bantuan kemanusiaan manakala kira-kira tujuh juta penduduk hilang tempat tinggal. – Bernama, 18 Disember, 2023.
Komen