SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken mengadakan rundingan dengan Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan dengan kedua-dua pihak antara lain membincangkan pentingnya penyertaan awal Sweden ke NATO, kata Jabatan Negara AS.
Sumber diplomatik di Ankara memberitahu Sputnik bahawa dalam perbincangan menerusi telefon dengan Blinken, Fidan turut menggesa supaya Israel dibawa ke meja rundingan bagi menyelesaikan konflik Israel-Hamas di Semenanjung Gaza.
“Kedua-duanya meneruskan perbincangan mengenai konflik Israel-Hamas dengan penekanan ke arah usaha untuk menyegerakan serta meningkatkan skala bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Setiausaha Blinken dan Menteri Luar Fidan turut membincangkan pentingnya untuk mengesahkan penyertaan NATO Sweden secepat mungkin,” menurut jabatan negara.
Sweden bersama Finland, menyerahkan permohonan NATOnya pada Mei 2022, beberapa bulan selepas Rusia melancarkan operasi ketenteraannya di Ukraine.
Finland menjadi ahli perikatan itu pada April 2023 manakala permohonan Sweden masih menunggu pengesahan oleh Turkiye dan Hungary. – Bernama, 18 Disember, 2023.
Komen