Bangladesh kerah tentera menjelang pilihan raya umum


Bangladesh kerah tentera membantu pentadbiran awam dalam memastikan keselamatan menjelang pilihan raya umum negara itu yang dijadualkan pada 7 Januari. – Gambar EPA, 18 Disember, 2023.

BANGLADESH mengerahkan tenteranya untuk membantu pentadbiran awam dalam memastikan keselamatan menjelang pilihan raya umum negara itu yang dijadualkan pada 7 Januari, kata seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pilihan Raya, lapor Xinhua.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Bangladesh Md Jahangir Alam memberitahu wartawan bahawa Presiden Bangladesh Mohammed Shahabuddin pada Ahad secara prinsip meluluskan penempatan tentera semasa pilihan raya umum akan datang.

Jahangir Alam berkata keputusan untuk mengerah pasukan tentera semasa pilihan raya dibuat semasa pertemuan antara presiden dan ketua pesuruhjaya pilihan raya Kazi Habibul Awal pada Ahad.

Terdahulu, suruhanjaya itu mengumumkan rancangannya untuk menempatkan tentera di seluruh negara selama 13 hari bermula 29 Disember sebagai persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum pada 7 Januari di tengah-tengah ketegangan politik yang semakin meningkat.

Sejak akhir Oktober, parti pembangkang Bangladesh melaksanakansekatan untuk meningkatkan tekanan ke atas parti pemerintah Liga Awami Bangladesh (AL) supaya berundur dan mengadakan pilihan raya akan datang di bawah kerajaan berkecuali.

Parti pembangkang dilaporkan menyebabkan kerosakan kenderaan dan kebakaran dengan pertempuran maut antara polis dan pekerja di Dhaka dan di tempat-tempat lain di negara Asia Selatan itu berlaku hampir setiap hari sejak akhir Oktober.

Sementara itu, tarikh akhir bagi calon menarik diri daripada pilihan raya umum ke-12 ditetapkan pada Ahad.

Seramai 2,260 calon daripada 28 parti politik, termasuk parti AL yang dipimpin oleh Perdana Menteri Sheikh Hasina dan sekutu utamanya Parti Jatiya dan mereka yang bertanding secara bebas, diluluskan.

Ketua Setiausaha parti AL Obaidul Quader berkata parti itu akan berkongsi beberapa kerusi dengan Parti Jatiya dan parti gabungan lain dan menarik balik calon parti dalam kawasan pilihan raya berkenaan. – Bernama, 18 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen