BUAT kali kedua rakyat Chile menolak cadangan perlembagaan baharu dalam referendum pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Lebih setahun lepas, pengundi menolak draf itu manakala pada Ahad menyaksikan 55.7% rakyat mengundi ‘tidak’ kepada draf majlis perlembagaan yang didominasi oleh parti konservatif, menurut pejabat pilihan raya selepas lebih 95% undi dikira.
Lebih 44% mengundi menyokong cadangan perlembagaan baharu itu.
Pengkritik, termasuk kerajaan sayap kiri mendakwa beberapa bidang hak asasi tertentu dalam perlembagaan baharu itu satu langkah ke belakang.
Sebagai contoh, draf itu boleh menyekat hak untuk melakukan pengguguran, membolehkan pengusiran serta-merta warga asing dan mewujudkan kelebihan cukai untuk pemilik rumah.
Tahun lepas, majoriti besar rakyat Chile menolak draf perlembagaan yang sangat progresif. Draf cadangan itu bermatlamat menjamin hak untuk perumahan, kesihatan dan pendidikan selain hak bagi komuniti pribumi Chile untuk menentukan nasib mereka sendiri.
Ia juga memberi mandat kepada wanita untuk mengisi separuh dari semua jawatan dalam kerajaan.
Cadangan progresif tersebut berkemungkinan terlalu berpandangan jauh bagi masyarakat konservatif Chile.
Perlembagaan sedia ada digubal semasa zaman kerajaan tentera di bawah Jeneral Augusto Pinochet (1973-1990).
Perlembagaan baharu itu merupakan antara tuntutan utama dalam protes yang melanda seluruh negara pada 2019. – Bernama, 18 Disember, 2023.
Komen