Temerloh bukti impian PAS jadi 'kingmaker' pada PRU14 hanya cakap besar


Sheridan Mahavera

Pemerhati politik percaya ia akan menjadi satu keajaiban untuk mengekalkan kerusi Temerloh tanpa bank undi bukan Melayu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Jun, 2017.

KEBELAKANGAN ini, pemimpin PAS Nasruddin Hassan dilihat gopoh dan sombong.

Beliau gembira kerana ramai di kalangan pembangkang sanggup melakukan apa sahaja untuk mengambil hati parti Islam itu, mempercayai PAS akan menawan banyak kerusi Parlimen dan menjadi “kingmaker” pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau menyakitkan hati bekas sekutu politik, DAP dan PKR, melupai yang kerjasama dengan mereka itulah memberinya dan ramai yang lain dalam PAS akses kepada pengundi bukan Melayu.

Untuk melihat bagaimana sikap tidak sensitif dan bangga diri Nasruddin, hanya memandu sehingga Temerloh di Pahang, kawasan di mana pengacum itu menjadi ahli Parlimen sejak 2013.

Seperti kerusi baru di pantai Barat Semenanjung yang dimenangi PAS pada 2013, Temerloh dimenangi hasil sokongan padu pengundi, yang sebelumnya selalu berdepan masalah memikat pengundi bukan Islam.

Digabungkan dengan fakta ia akan bertanding dalam pertandingan tiga penjuru menentang bekas sekutu dan musuh tradisional Umno, cita-cita PAS menjadi “kingmaker” seolah-olah suatu kesombongan dan bermimpi di siang hari.

Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan dijangka berdepan saingan sengit daripada calon Barisan Nasional pada PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2017.

Sokongan berpecah

Nasrudin memenangi Temerloh pada PRU13, empat tahun lalu selepas pertempuran sengit dengan penyandangnya Saifuddin Abdullah, yang ketika itu bersama Umno-Barisan Nasional (BN).

Nasrudin menang dengan majoriti tipis sebanyak 1,070 undi, sebahagian besarnya disebabkan masyarakat Cina dan India di kawasan berkenaan yang membentuk 24% dan 9% daripada pengundi.

“Dalam semua daerah mengundi Cina, PAS memenangi hampir 95% undi Cina,” kata Ahmad Tarmizi Ismail, bekas aktivis kanan PAS di Temerloh yang kini menyertai Amanah.

Trend yang sama berlaku di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri PAS lain iaitu Kuala Semantan, Tanjung Lumpur dan Beserah, kata Tarmizi – mereka menang dengan sokongan kuat pengundi bukan Islam yang membentuk antara 27% dan 20% daripada pengundi.

Sementara, Umno dan BN pula meraih di antara 55% dan 60% daripada undi Melayu di negeri itu.

Personaliti dan perkhidmatan

Personaliti dan rekod calon juga adalah faktor penting bagi kalangan penduduk Temerloh dan Nasrudin mempunyai kekurangan dalam hal ini.

Nasrudin yang juga ketua penerangan PAS, menyampaikan ceramah agama di sebuah masjid berhampiran Batu Satu seminggu sekali, tetapi selain itu, penduduk tidak melihatnya.

Guru agama Ibrahim Ahmad masih ingat Nasruddin melawat kampung di Desa Murni pada Julai 2016 di mana bumbung kira-kira 120 rumah diterbangkan semasa ribut.

“Seorang saudara saya berkata beliau hanya melawat rumah tetapi tidak masuk ke dalam apabila dijemput. Ia sangat tidak mesra bagi seorang wakil rakyat,” kata Ibrahim.

Seorang lagi penduduk Samsurizal Mohd Shah, yang menjual pakaian kanak-kanak berhampiran esplanad di bandar ini, katanya dalam pertandingan antara Nasrudin dan wakil tempatan daripada Umno Mohd Sharkar Shamsudin, beliau percaya penduduk akan menyebelahi Umno.

“Nasrudin dan Sharkar pernah membantu penduduk Temerloh tetapi saya percaya Sharkar mempunyai kelebihan.”

Ahmad Tarmizi Ismail berkata PAS menang dengan sokongan kuat pengundi bukan Islam yang membentuk antara 27% dan 20% daripada pengundi di kawasan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Jun, 2017.

Nasrudin tidak memberi respons kepada panggilan telefon dan permintaan untuk mendapatkan sebarang komen.

Sharkar yang juga Adun Lancang, disebut-sebut akan diletakkan sebagai calon BN bagi kerusi Temerloh pada PRU14.

Temerloh terdiri daripada Mentakab, Lancang dan Kuala Semantan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri.

Sharkar mewakili Lancang sejak 2004 dan banyak menyalurkan bantuan daripada kerajaan BN Pahang kepada Temerloh.

Ini termasuk membelanjakan RM24 juta untuk membaiki 3,000 rumah kampung di seluruh Temerloh yang rosak akibat banjir dan ribut.

“Kami memberikan jutaan ringgit bantuan untuk sekolah, surau, masjid dan seminari agama. Kami menyediakan biasiswa negeri dan bantuan untuk orang kurang upaya dan tidak berdaya,” kata Sharkar.

Sharkar berkata BN merancang membina lima rumah PR1MA (Skim Perumahan 1Malaysia) dan Skim Rumah Kos Sederhana di Temerloh untuk pembeli rumah kali pertama.

“Kami akan menawan semula Temerloh berdasarkan bilangan penyokong, rekod perkhidmatan dan rancangan masa depan kami.”

Walaupun Pakatan Harapan (PH) percaya kos sara hidup yang tinggi akan mewujudkan rasa tidak puas hati di kalangan pengundi dan membawa mereka jauh daripada BN, Sharkar berhujah yang kemampuan parti pemerintah untuk membuat pelaksanaan akan berjaya mengatasi mana-mana parti pembangkang.

“Saya rasa pengundi boleh membezakan antara rekod pencapaian kita dan janji pembangkang. Harga sudah meningkat tetapi saya tidak melihat pembangkang memberi jaminan harga akan turun jika mereka dipilih,” katanya.

Apabila beliau berbicara tentang pembangkang, ia termasuklah juga PAS.

Pemerhati politik dan peninjau pendapat percaya ia akan menjadi satu keajaiban bagi Nasruddin untuk mengekalkan kerusinya tanpa bank undi bukan Melayu yang penting itu.

Hal yang sama berlaku kepada kerusi Parlimen lain yang dimiliki parti Islam pada 2013. Ringkasnya, keahlian dalam Pakatan Rakyat mempunyai keistimewaan – sokongan pengundi Cina dan India yang secara tradisinya sangsi dengan PAS.

Tindakan memutuskan hubungan dengan PKR dan DAP, menyebabkan keistimewaan ditarik. Di Temerloh, cakap besar Nasruddin akan berakhir. – 11 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen