Kedudukan kerajaan perpaduan paling stabil, terus kukuh, kata setiausaha agung DAP 


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata realiti tersebut sekali gus meranapkan dakwaan sesetengah pihak yang kononnya kerajaan perpaduan akan tumbang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2023.

KEDUDUKAN kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika ini adalah yang paling stabil, kukuh dan kuat, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Loke berkata persefahaman dan komitmen semua gabungan parti politik dalam kerajaan perpaduan adalah kunci kepada kestabilan kerajaan itu yang berusia setahun pada 24 November lepas.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata realiti tersebut sekali gus meranapkan dakwaan sesetengah pihak yang kononnya kerajaan perpaduan akan tumbang dan berlaku pertukaran kerajaan.

“Walaupun ada pelbagai cubaan pihak lawan untuk ganggu-gugat, dakwa kerajaan akan tumbang, bertukar perdana menteri…hakikatnya kerajaan sekarang pada kedudukan yang kukuh dan semua parti (dalam kerajaan) beri komitmen tertinggi kekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan.

“PH (Pakatan Harapan), BN (Barisan Nasional), GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) masing-masing berulang kali dengan jelas memberi komitmen menyokong kerajaan ini… kedudukan kerajaan Perpaduan setiap hari semakin kukuh, semakin kuat dan stabil ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvensyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.

Loke berkata DAP juga yakin pelbagai dasar yang direncanakan Kerajaan Perpaduan dapat dilaksanakan sebaiknya, malah setiap keputusan atau rancangan yang dirangka adalah praktikal mengikut keperluan rakyat dan ekonomi negara.

Di peringkat DAP katanya, parti itu kekal bersama PH dalam menerajui pentadbiran negara dan berpegang teguh kepada prinsip sebuah negara yang progresif dan majmuk.

“Kita kekal dengan perjuangan kita terutama dalam memastikan Malaysia kekal sebagai negara yang progesif, masyarakat majmuk dan dasar yang sederhana serta tidak menjurus kepada ekstremis,” katanya.

Konvensyen Negeri Wilayah Persekutuan yang berlangsung hari ini itu, antara lain menggariskan sembilan resolusi termasuk mahu kerajaan Persekutuan melakukan pendemokrasian Kuala Lumpur dengan mengembalikan pilihan raya majlis tempatan dan meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang baru dilantik untuk terus melaksanakan reformasi pentadbiran demi kesejahteraan warga kota.

Sementara itu dalam sidang media, Loke berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) akan berbincang berhubung pengurniaan darjah kebesaran daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Ng Suee Lim.

“Ya beliau (Ng Suee Lim) ada bincang dengan saya, tapi saya minta dia bawa kepada pengetahuan Jawatankuasa Tinggi DAP Selangor dan kita akan bincangkan perkara ini dalam CEC pada mesyuarat akan datang,” katanya.

Pada 11 Disember lepas, Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran-Darjah Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran ‘Datuk’ kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan Itu.

DAP menetapkan dasar parti yang melarang pemimpinnya menerima sebarang gelaran semasa berkhidmat sebagai wakil rakyat.– Bernama, 17 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen