Melayu boleh hilang jawatan PM jika bertindak tidak bijak, kata Puad


Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi berkata rahsia utama Melayu kekal sebagai perdana menteri adalah kematangan, kebijaksanaan dan kepimpinan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2023.

BUKAN Melayu akan terus mempercayai Melayu sebagai perdana menteri selagi pemimpin Melayu kekal adil, inklusif, matang dan bijang, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi.

Beliau bagaimanapun memberi amaran jika kepimpinan Melayu didokong oleh orang tidak matang dan tidak bijaksana maka bukan Melayu tidak perlu tunggu 100 tahun lagi untuk jadi perdana menteri.

“Rahsia utama ialah kematangan, kebijaksanaan dan kepimpinan. Itu kuncinya. Selagi pemimpin Melayu adil, inklusif, matang dan bijaksana, kaum lain akan beri kepercayaan terus kepada orang Melayu jadi PM.

“Jika kepimpinan Melayu didokong oleh orang tidak matang dan tidak bijaksana maka bukan Melayu tidak perlu tunggu 100 tahun lagi untuk jadi perdana menteri,“ katanya di Facebook hari ini.

Beliau turut menegur pemimpin Perikatan Nasional yang terus-terusan memainkan isu perdana menteri bukan Melayu.

Beliau berkata tiada keperluan untuk meminda perlembagaan negara untuk memastikan jawatan itu diberikan kepada orang Melayu.

“Sudah 66 tahun Malaysia merdeka. Orang Melayu kekal jadi perdana menteri,” katanya.

Isu itu menjadi hangat selepas veteran DAP Lim Kit Siang pada satu perhimpunan dengan pelajar Malaysia di United Kingdom pada 29 November berkata kenyataan berkenaan orang bukan Melayu tidak boleh menjadi PM adalah bercanggah dengan Perlembagaan.

Susulan itu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan Melayu saja boleh menjadi perdana menteri. – 17 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen