Stokin di takungan air bukan milik Zayn, kata polis


Lokasi penemuan jasad Zayn Rayyan ditutup untuk pemeriksaan lanjut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2023.

POLIS mengesahkan stokin dijumpai di takungan air di mana mayat Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemui bukan milik budak lelaki autistik berusia enam tahun yang dibunuh itu.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata ujian makmal mengesahkan perkara itu, lapor Sinar Harian.

Semalam, Hussein memberitahu The Malaysian Insight yang tiada penunjuk baru dalam siasatan pembunuhan Zayn, tetapi polis masih mencari bukti baru di kawasan jenayah berlaku.

Pada Jumaat, pasukan forensik dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Selangor menjalankan lakonan semula yang membawa kepada kematian Zayn di kawasan kejiranan itu.

Pasukan itu tiba di blok apartmen di Damasara Damai sekitar jam 11 pagi, ditemani seorang kanak-kanak yang mendakwa melihat Zayn pada petang hari kehilangannya, 5 Disember lalu. Kanak-kanak itu melakonkan semula pergerakan Zayn.

Pasukan forensik melakukan lakonan semula itu di Blok R sebelum membawa saksi kanak-kanak itu ke tangga berhampiran Semak.

Lakonan semula itu yang melibatkan dua saksi kanak-kanak- berusia enam dan sembilan tahun- adalah untuk menentukan samada terdapat bukti baru di tangga Blok R ke kawasan mayat Zayn ditemui.

Zayn dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu dan mayatnya ditemui keesokan harinya di takungan air kira-kira 200 meter dari rumahnya di Damansara Damai. – 17 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen