Negara-negara Asia ucap takziah kemangkatan emir Kuwait


Syeikh Nawaf, 86, mangkat selepas tiga tahun memerintah. – Gambar AFP, 17 Disember, 2023.

MALDIVES, Pakistan, India dan negara-negara lain di Asia mengucapkan takziah atas kemangkatan Emir Kuwait Sheikh Nawaf Al Ahmad Al Jaber Al Sabah pada Sabtu.

“Dunia Islam kehilangan seorang pemimpin yang hebat dan penyokong kuat perjuangan Ummah. Takziah saya ucapkan kepada kerabat diraja dan rakyat Kuwait.

“Kerajaan dan rakyat Pakistan bersama saudara di Kuwait ketika saat yang penuh kedukaan ini,” kata Presiden Pakistan Arif Alvi.

Presiden Maldives Mohamed Muizzu mengarahkan bendera negara dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula Ahad.

Muizzu berkata Maldives akan sentiasa mengenang usaha Emir dalam membina dan mengembangkan hubungan dua hala.

“Saya mengucapkan takziah kepada kerabat Emir dan rakyat Kuwait,” katanya.

Perdana Menteri India Narendra Modi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga diraja dan rakyat Kuwait dan kerajaan mengisytiharkan negara berkabung sehari pada Ahad.

Kerajaan Afghanistan turut berkongsi kedukaan.

“Ingatan dan doa kami bersama rakyat Kuwait semasa tempoh berkabung ini. Semoga legasi, kepimpinan dan dedikasi baginda kepada negaranya menjadi sumber keselesaan dalam masa yang mencabar ini,” kata Menteri Luar Sri Lanka Ali Sabry.

Syeikh Nawaf, 86, mangkat selepas tiga tahun memerintah.

Putera Mahkota Sheikh Meshal Al Ahmad Al Jaber Al Sabah, 83, diisytiharkan sebagai Emir baharu Kuwait. – Bernama, 17 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen