TIADA larangan kepada pemegang sijil halal untuk menulis sebarang bentuk ucapan perayaan pada kek yang dijual untuk dibawa pulang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mohd Na’im Mokhtar, seperti dipetik The Star.
Beliau mengulas pekeliling dalaman sebuah kedai kek kepada kakitangan mengingatkan mereka supaya tidak menulis ucapan Merry Christmas atau X’Mas pada kek walaupun atas permintaan pelanggan.
“Tiada larangan untuk menulis ucapan perayaan pada kek yang dijual oleh pemegang sijil halal kepada pelanggan,” katanya, seperti dipetik The Star.
Mohd Na’im juga berkata beliau sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya mengeluarkan penjelasan segera mengenai isu yang berbangkit.
Dalam penjelasannya yang dikeluarkan lewat malam tadi, Jakim berkata isu sama pernah berbangkit sebelum ini dan pernah dijelaskan pada Disember 2020 dan November 2023.
“Ucapan perayaan adalah dibenarkan pada produk sekiranya ia dibuat bukan dengan tujuan untuk dipamerkan dalam premis yang telah dipersijilkan halal atau pada produk yang ditandakan dengan logo halal.
“Tiada peruntukan yang menyentuh mengenai sambutan apa-apa perayaan termasuk perayaan Islam di dalam Manual Prosedur Persijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020,” kata Jakim dalam kenyataan bertarikh 25 Disember 2020.
Jakim juga menjelaskan peraturan yang dikaitkan dengan persijilan dan pengurusan halal hanya terpakai bagi pemegang sijil halal Malaysia.
Dalam memo dalaman yang tular semalam, pengurus operasi Berry’s menasihati kakitangan kedai kek itu supaya menyediakan kad ucapan “Season’s Greeting” sebagai ganti tulisan pada kek.
“Alasannya kerana kita memegang sijil halal, kita harus mendukung penuh dan mematuhi segala syarat halal serta peraturan dan ketetapan oleh Jakim,” katanya. – 17 Disember, 2023.
Komen