PERTEMPURAN terbaru antara tentera Sudan dan pasukan paramilitan mewujudkan ancaman kepada orang awam dan usaha bantuan, Amerika Syarikat memberi amaran pada Sabtu ketika ia mendesak semua pihak mengelak daripada bertempur di pusat bantuan yang menempatkan ribuan orang.
Lebih 500,000 pelarian mencari perlindungan di negeri Al Jazirah, Sudah, dengan lebih 86,000 daripada mereka berlindung di Wad Madani, menurut angka dikeluarkan PBB.
Tetapi pertempuran antara tentera Sudan dan pasukan paramilitan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) merebak ke bandar tersebut pada Jumaat, menyebabkan agensi kemanusiaan PBB menghentikan usaha bantuan ke negeri “sehingga notis lanjut”.
“Wad Madani menjadi tempat selamat untuk orang awam yang terpaksa berpindah dari rumah mereka dan tempat penting usaha bantuan kemanusiaan antarabangsa. Pergerakan lanjut RSF membawa risiko kematian orang awam dan gangguan besar-besaran kepada usaha bantuan kemanusiaan,” kata jurucakap Jabatan Negara Matthew Miller dalam kenyataan.
“Kami menggesa Pasukan Sokongan Pantas di Sudan menghentikan pergerakan mereka di Negeri Gezira serta merta dan mengelak daripada menyerang Wad Madani,” kata Miller.
Perang saudara yang bermula pada April antara Ketua Tentera Abdel Fattah al-Burhan dan bekas timbalannya, Komander RSF Mohamed Hamdan Daglo sudah membunuh 12,190 orang, menurut anggaran kasar Projek Data Lokasi dan Kejadian Konflik Bersenjata.
Lebih 5.4 juta orang menjadi pelarian dengan 1.3 juta sudah melarikan diri ke luar negara, menurut angka dikeluarkan PBB.
Pejuang RSF bergerak menghampiri Wad Madani sejak berminggu lalu, menerusi lebuh raya, 180 kilometer dari utara Khartoum. – AFP, 17 Disember, 2023.
Komen