Aktiviti tentera di hospital sudah ‘disempurnakan’, kata Israel


Tentera Israel menyerang Hospital Kamal Adwan di Gaza, menurut Hamas banyak kematian berlaku kerana serangan itu. – Gambar AFP, 17 Disember, 2023.

TENTERA Israel pada Sabtu berkata ia menemui senjata api dan menahan 80 orang anggota Hamas yang sedang menjalankan “aktiviti ketenteraan” di sebuah hospital di Gaza, yang disifatkan Hamas sebagai “pembunuhan beramai-ramai mengerikan”.

Kementerian kesihatan pada Rabu berkata tentera Israel “menembak wad pesakit” dan menahan kakitangan Hospital Kamal Adwan di Bandar Gaza ketika penaklukan yang berlangsung selama beberapa hari.

Agensi kemanusiaan PBB, OCHA berkata pada hari sama pengarah hospital dan lebih kurang 70 pekerja kesihatan “ditahan di lokasi tidak diketahui di luar hospital”.

Ia berkata tentera Israel membebaskan lima doktor dan kakitangan wanita tetapi ada laporan”layanan kejam” ke atas mereka yang ditahan.

Pada Sabtu, tentera Israel berkata ia sudah “menyempurnakan aktivitinya di kawasan Hospital Kamal Adwan”, yang didakwa “digunakan oleh Hamas sebagai pusat kawalan.”

“Tentera menahan lebih kurang 80 pengganas, memusnahkan insfrastruktur keganasan di kawasan tersebut” dan menemui “pelbagai senjata”, kata tentera.

Tentera juga “menyoal siasat kakitangan hospital”, katanya.

“Pekerja mengaku senjata disembunyikan di dalam incubator yang sepatutnya digunakan untuk merawat bayi tidak cukup bulan,” dakwa tentera.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada Sabtu, Hamas menuduh tentera Israel melakukan “pembunuhan beramai-ramai mengerikan” di dalam hospital dan memusnahkan khemah pelarian yang berlindung di sana, menyebabkan banyak kematian.

Sekurang-kurangnya 18,000 orang terbunuh di Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober. – AFP, 17 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen