Hasbie Muda kekal jawatan Ketua Pemuda Amanah


Diyana Ibrahim

Mohd Hasbie Muda dipilih sebagai Ketua Pemuda Amanah bagi penggal 2023-25 selepas meraih undian tertinggi 387 pada pemilihan parti di Kuala Lumpur malam ini. – Gambar Facebook, 16 Disember, 2023.

MOHD Hasbie Muda kekal menerajui kepimpinan Pemuda Amanah selepas meraih 387 undian, paling tertinggi dalam pemilihan sayap parti itu.

Kemenangan senator itu yang sebelum ini memegang jawatan tersebut secara lantikan pada 2021 menepati ramalan ramai.

Hasbie sebelum ini menggantikan Shazni Munir yang meninggal dunia akibat pandemik Covid-19.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid dilantik sebagai timbalan ketua pemuda selepas mendapat undi kedua tertinggi iaitu 368 undi.

Jawatankuasa baharu Pemuda Amanah juga melantik tiga lagi jawatan naib ketua pemuda.

Bagi naib ketua pemuda satu disandang Mohd Faris Arrifin yang sebelum ini merupakan ketua pemuda Batu.

Naib ketua pemuda dua disandang Mohd Ammar Attan yang mendapat jawatan itu secara lantikan.

Naib ketua pemuda ketiga pula disandang Mohd Zulhasmi Hassan yang dulunya merupakan ketua pemuda Kelantan.

Pemilihan jawatankuasa Pemuda Amanah berlangsung dengan setiap perwakilan dari satu kawasan memilih 27 calon.

Mereka yang mendapat undi tertinggi akan bermesyuarat pula untuk melantik ketua dan jawatan lain.

Seramai 572 pewakilan mengundi untuk memilih kepimpinan baharu bagi penggal 2023 hingga 2025. – 16 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen