Wanita hidap kanser antara 16 rakyat Palestin ditahan Israel


Seorang wanita yang menghidap kanser antara 16 rakyat Palestin yang ditahan tentera penceroboh Israel di Tebing Barat. – Gambar fail AFP, 16 Disember, 2023.

SEORANG wanita yang menghidap kanser adalah antara 16 rakyat Palestin yang ditahan tentera penceroboh Israel di Tebing Barat yang diduduki pada Sabtu.

Penahanan itu menjadikan jumlah penduduk Palestin yang ditahan sejak konflik Israel-Hamas tercetus pada 7 Oktober lalu kepada 4,520 orang, menurut kumpulan tahanan Palestin.

Agensi berita Palestin (WAFA) melaporkan wanita itu dikenali sebagai Faten Majed Masalmeh, 21, berasal dari Gaza tetapi kini berkahwin dan menetap di Tebing Barat.

Beliau ditahan di pusat pemeriksaan tentera di selatan bandar Nablus, utara Tebing Barat selepas mendapatkan rawatan perubatan.

Menurut suaminya yang berada di lokasi kejadian, isterinya dipercayai ditahan kerana berasal dari Gaza, walaupun menetap di Tebing Barat sejak tiga tahun lalu.

Beliau berkata tentera tidak membenarkan Faten membawa ubat bersamanya.

Kumpulan tahanan Palestin berkata yang lain ditahan di Bethlehem, Jericho, Tulkarm, Ramallah, Hebron dan Baitulmaqdis. – Bernama, 16 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen