Pemuda Amanah Pulau Pinang cadang had tempoh Adun 2 penggal


Diyana Ibrahim

Pewakilan Pemuda Amanah Bayan Lepas Faizul Shaiffe berkata, cadangan itu sebagai usaha memberi peluang sama rata kepada semua ahli mereka yang layak untuk menjadi wakil rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2023.

PEMUDA Amanah Pulau Pinang mencadangkan usul supaya pimpinan tertinggi meletakkan syarat mengehadkan tempoh ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menang dalam Pilihan Raya Umum hanya bagi tempoh dua penggal sahaja.

Cadangan itu dibawa dalam satu usul yang dibentangkan pewakilan Bayan Lepas Faizul Shaiffe di Kongres Pemuda Amanah hari ini.

Beliau berkata, cadangan itu sebagai usaha memberi peluang sama rata kepada semua ahli mereka yang layak untuk menjadi wakil rakyat.

Katanya jika ingin meneruskan khidmat sebagai tiga penggal pun, ia perlu bersyarat dimana pemimpin tersebut sudah berkhidmat cemerlang dan perlu berpindah ke kerusi lain.

“Dengan had tempoh jawatan dua penggal itu, jadi boleh beri peluang dan ruang untuk ahli baru dan juga pelapis parti.

“Sebab saya lihat Adun ini adalah orang yang sama sahaja, bila orang sama jadi berlaku ketandusan idea, tak ada perubahan, jadi kalau kita nak jadi parti yang progresif perubahan perlu dilakukan,” katanya.

Malah, katanya dengan syarat itu ia membolehkan lebih ramai Adun dari Amanah akan mendapat pencen yang seterusnya dapat memberi sumbangan semula kepada parti.

Tambahnya perincian mengenai syarat itu boleh diputuskan kemudian oleh pimpinan tertinggi.

“Jawatan perkhidmatan awam ini paling singkat untuk mendapat pencen dalam konteks ekonomi dan kebajikan kepada ahli parti dan sumbangan kepada parti,” katanya.

Usul itu kemudian diluluskan dengan suara majoriti dan akan dibawa ke Kongres Amanah Nasional pada minggu depan.

Kongres Pemuda Amanah yang berlangsung hari ini dihadiri 527 pewakilan parti itu yang akan memilih 27 jawatankuasa kepimpinan baharu. – 16 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen