PM beri jaminan pelabur Jepun Malaysia ada dasar jelas pacu pertumbuhan kukuh


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia juga sedang menumpukan kepada transformasi digital. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 16 Disember, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada pelabur Jepun bahawa walaupun kerajaan Madani hanya baru berusia setahun, ia stabil, dengan dasar yang sangat jelas untuk memacu pertumbuhan Malaysia. 

Beliau berkata demikian pada persidangan meja bulat dengan ketua-ketua industri di Tokyo, selepas sesi pertemuan bersemuka dengan tiga syarikat utama Jepun.

“Kami memikirkan cara bagaimana untuk menangani peralihan tenaga, termasuk tenaga boleh baharu di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu yang menggariskan apa yang ingin kami capai dan misi kami,” katanya.

Anwar berkata Malaysia juga sedang menumpukan kepada transformasi digital.

“Saya di sini untuk mendengar pandangan anda, tentang perkara yang perlu dilakukan untuk memudahkan atau mempercepatkan proses libat urus dan pelaburan,” katanya.

Anwar, yang sedang dalam rangka lawatan selama lima hari ke Jepun berkata beliau kagum dengan sokongan yang ditunjukkan terhadap Malaysia semasa sesi persidangan meja bulat itu yang disertai 25 syarikat.  

Antara peserta yang menyertainya termasuklah Masaya Hasegawa, pengasas Shinzen Energy; Kunio Yamada, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Rohto Pharmaceutical; Hidehiro Yokoo, pegawai eksekutif kanan Denso Corporation; Takeshi Saito, presiden Eneos Holdings dan Nobuhiko Murakami, pengerusi Toyota Tsusho Corporation.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan eksekutif kanan tiga syarikat multinasional utama Jepun iaitu ROHM WAKO Co. Ltd, yang diketuai pengerusinya Datuk Yoshioka Yosuke; NEC Co. Ltd oleh naib presiden kanan Matsuki Toshiya dan Mitsui & Co oleh presiden dan ketua pegawai eksekutifnya Kenichi Hori.

Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan.

Semasa pertemuan itu, beliau memberi jaminan kepada para peserta bahawa masih ada banyak peluang yang tersedia bagi pelabur Jepun di Malaysia.

Sementara itu, Tengku Zafrul, dalam ucapan perasmiannya semasa persidangan meja bulat berkata acara tersebut menekankan komitmen Malaysia untuk meletakkan asas yang lebih kukuh bagi hubungan ekonomi dan dua hala pada masa depan.

Beliau juga memaklumkan mengenai penubuhan Pusat Memudah Cara Pelaburan Malaysia (IMFC) yang memulakan operasinya pada 1 Dis lepas sebagai pusat sehenti untuk pelabur menjalankan perniagaan di Malaysia.

Sementara itu, Anwar berterima kasih kepada Persatuan Alumni Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) Malaysia kerana membantu mengatur mesyuarat dan sesi persidangan meja bulat hari ini yang memberi peluang kepada ketua-ketua industri Jepun untuk berinteraksi secara langsung dengan beliau.

Jepun telah menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia sejak 2015. 

Pada 2022, perdagangan Malaysia dengan Jepun bernilai RM181.51 bilion (AS$41.21 bilion) atau 6.4 peratus daripada keseluruhan jumlah perdagangan negara. 

Setakat Jun 2023, sejumlah 2,778 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia dengan pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (AS$27.43 bilion). – Bernama, 16 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen