Unit dron Bukit Aman bantu cari bekas komando hilang


UNIT Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman akan membantu pencarian bekas komando Grup Gerak Khas (GGK) Ab Manan Keri yang dilaporkan hilang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kluang Bahrin Mohd Noh berkata, operasi yang memasuki hari kedua turut membabitkan 80 pegawai dan anggota pasukan penyelamat termasuk Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kluang serta sembilan bot.

“Jarak pencarian juga ditambah membabitkan bahagian atas (hulu) dan hilir tempat kejadian dari pusat kawalan tempat kejadian (PKTK) sejauh kira-kira 8 kilometer, berbanding 3km semalam.

“Kami juga membabitkan anggota unit penyelam skuba bomba,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di PKTK di Kampung Palembang.

Menurut Bahrin, pencarian juga membabitkan tiga sektor bahagian kiri dan kanan tebing sungai, bahagian dasar dan selaman dari simpang Sungai Melantai hingga jambatan kedua Jalen Paloh.

“Usaha mencari mangsa yang bermula pada jam 9 pagi hari ini diharap mendapat perkembangan positif,” katanya.

Sementara itu, anak mangsa Mohamad Shahfullah Ab Manan, 29, berharap bapanya dapat ditemukan semula.

“Sama-sama kita berdoa agar ayah dapat ditemukan dalam keadaan selamat dan amat berterima kasih atas usaha yang dilancarkan oleh pasukan penyelamat,” katanya.

Terdahulu, warga emas berusia 73 tahun itu dilaporkan hilang selepas menghadiri majlis jamuan teh bersama rakyat Batu Pahat dan Kluang di Dataran Tasik pada Khamis, dengan berpakaian lengkap Kelab Veteran Komando dan beret hijau.

Semalam, Bahrin berkata pihaknya melakukan pemeriksaan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan Persatuan Eng Choon dan mendapati terdapat kelibat seseorang terjatuh ke longkang besar berhampiran Sungai Mengkibol. – Bernama, 16 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen