Penganjur ultramaraton China 2021 dipenjara


Lima indivcidu yang terlibat dalam penganjuran ultramaraton di barat laut China pada 2021 dijatuhi hukuman penjara antara tiga hingga lima setengah tahun. – Gambar AFP, 16 Disember, 2023.

PENGANJUR ultramaraton di barat laut China pada 2021 yang menyebabkan kematian 21 pelumba susulan cuaca melampua dijatuhi hukuman penjara antara tiga hingga lima setengah tahun atas peranan mereka, lapor media kerajaan.

Menurut agensi berita Xinhua, mahkamah di Baiyin, sebuah bandar di wilayah Gansu yang menjadi lokasi kemalangan berkenaan, menjatuhkan hukuman itu terhadap lima indivcidu yang terlibat dalam insiden tersebut.

Pada Mei 2021, perlumbaan gunung merentas desa sejauh 100 kilometer bertukar tragedi apabila hujan sejuk, angin kencang dan hujan batu melanda pelumba.

Lima defendan tersebut disabitkan atas kesalahan kerana “menganjurkan acara berskala besar yang membawa kepada insiden keselamatan yang ketara”, lapor Xinhua.

Sementara itu, seorang pegawai di wilayah Lanzhou dijatuhi hukuman empat tahun 10 bulan kerana “mengambil rasuah”, dan satu lagi hukuman tiga setengah tahun kerana “cuai dalam menjalankan tugas”, tambah Xinhua.

Larian jarak jauh dan sukan lasak lain berkembang pesat di China sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerana kerajaan menggalakkan senaman untuk semua peringkat umur, meskipun beberapa pertubuhan berulang kali memberi amaran.

Insiden pada 2021 itu menimbulkan persoalan mengapa penganjur nampaknya tidak mengendahkan cuaca melampau yang akan datang dan membawa kepada gesaan supaya undang-undang yang lebih ketat mengenai acara sukan.

Susulan kematian itu, Pentadbiran Am Sukan Beijing mengumumkan acara tanpa piawaian keselamatan negara akan digantung, termasuk larian pergunungan, terjunan menggunakan wingsuit dan larian jarak jauh. – AFP, 16 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen