Kes langgar maut pelajar: Ketua Polis Negara jamin siasatan telus


Ketua Polis Negara Razarudin Husain memberi jaminan siasatan telus dan adil dalam kes kematian seorang pelajar sekolah yang dilanggar kereta dipandu seorang pegawai kanan polis semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2023.

KETUA Polis Negara Razarudin Husain memberi jaminan siasatan telus dan adil dalam kes kematian seorang pelajar sekolah yang dilanggar kereta dipandu seorang pegawai kanan polis semalam, lapor media.

“Polis tidak akan sesekali melindungi atau berkompromi dalam isu ini walaupun ia membabitkan pegawai kanan polis,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Razarudin berkata beliau juga sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Ipoh, Ketua Polis Perak dan Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman untuk memantau siasatan dengan rapi.

Jelasnya, siasatan pada masa ini dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, atas kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian.

“Polis sudah merakam percakapan tujuh orang saksi membabitkan pelajar sekolah terbabit yang melihat dan berada di tempat kejadian,” tambahnya.

Dalam pada itu, Razarudin meminta saksi kejadian serta mereka yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan polis.

Dalam kejadian tengah hari semalam, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Ipoh, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang menunggang sebuah motosikal meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu oleh pegawai kanan polis.

Pegawai kanan polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah ditahan semalam dan dilapor akan direman hari ini. – 16 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen