Tiada jaminan orang Melayu jadi PM, kata Muhyiddin


Desmond Davidson

Pemimpin Bersatu Muhyiddin Yassin berkata undang-undang anti-lompat parti yang diluluskan baru-baru ini membuka jalan kepada bukan Melayu untuk memegang jawatan itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2023.

PERUBAHAN landskap politik Malaysia menjadikan tiada lagi jaminan orang Melayu akan menjadi perdana menteri, kata Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin hari ini.

Presiden Bersatu dan bekas perdana menteri itu menjawab soalan veteran DAP Lim Kit Siang yang mencetuskan kontroversi apabila bercakap mengenai kemungkinan seorang bukan Melayu dilantik sebagai perdana menteri dalam ucapannya kepada pelajar Malaysia di United Kingdom baru-baru ini.

Beliau berkata dengan pindaan Perlembagaan mengenai lompat parti, wakil rakyat ini pula terikat dengan keputusan parti termasuk jika mereka mahu menyokong bukan Melayu menjadi perdana menteri.

Menurutnya perubahan yang lebih besar berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang mana tidak ada mana-mana parti atau gabungan parti yang memperolehi bilangan kerusi majoriti di Dewan Rakyat.

“Dalam keadaan inilah rundingan antara parti berlaku dalam menentukan siapa menjadi Perdana Menteri.”

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata pada masa akan datang sekiranya parti mereka atas apa jua alasan atau kepentingan memutuskan untuk menyokong seorang bukan Melayu sebagai Perdana Menteri, wakil rakyat itu mesti patuh.

“Jika tidak patuh mereka berisiko terlucut keahlian parti, terpaksa mengosongkan kerusi yang disandang dan mesti membayar pampasan bernilai ratusan juta ringgit,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Maka katanya, jadilah orang bukan Melayu sebagai Perdana Menteri dan orang Melayu tidak boleh berbuat apa-apa walaupun itu bukanlah kehendak mereka.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad juga mencadangkan kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan supaya hanya orang Melayu-Islam boleh memegang jawatan, menunjukkan undang-undang anti-lompat parti sebagai membuka jalan kepada bukan Melayu menjadi perdana menteri.

Ketika perdebatan semakin hangat, kumpulan peguam, Lawyers for Liberty, berkata cadangan Wan Fayhsal adalah “perkauman buku teks”. – 15 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen