Mahkamah putuskan hukuman lelaki pikat isteri orang bercanggah perlembagaan


Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan undang-undang menghukum lelaki kerana memikat isteri orang adalah tidak mengikut perlembagaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2023.

MAHKAMAH Persekutuan hari ini memutuskan undang-undang menghukum lelaki kerana memikat isteri orang adalah tidak mengikut perlembagaan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel lima hakim, berkata Seksyen 498 Kanun Keseksaan digubal sebelum Merdeka, justeru Perkara 162(6) dan 162(7) Perlembagaan Persekutuan terpakai.

“Kami berpandangan peruntukan itu tidak mampu diubah suai kerana ia akan mengubah watak kesalahan.

“Oleh itu satu-satunya cara untuk membatalkannya adalah dengan memansuhkannya menerusi kehakiman,” kata Tengku Maimun yang dipetik dari Free Malaysia Today.

Tengku Maimun bersidang bersama Hakim Besar Malaya Zabidin Diah, Hakim Harmindar Singh Dhaliwal, Abu Bakar Jais dan Abdul Karim Abdul Jalil.

Pada 2020, seorang ahli perniagaan berusia 54 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya kerana memikat seorang isteri orang selepas suami wanita itu memfailkan laporan polis.

Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian membenarkan permohonan lelaki terbabit untuk merujuk berkenaan pertikaian perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah berkata persoalan undang-undang yang dipertimbangkan adalah sama ada Seksyen 498 Kanun Keseksaan melanggar hak asasi semua orang untuk kesamarataan di sisi undang-undang, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 8(1) dan 8(2) perlembagaan.

Panel sebulat suara menjawab soalan itu dengan afirmatif. – 15 Disember, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen