SYOR Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad untuk Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya Melayu Islam saja boleh jadi perdana menteri adalah “perkauman buku teks”, kata Pengarah Lawyers for Liberty Zaid Malek.
Zaid berkata sangat “bahaya, cuai dan tidak ada keperluan” untuk mengubah perlembagaan itu berkait dengan hal perkauman dan agama.
“Memutarbelitkan dan mencacatkan” perlembagaan untuk membunuh nilai demokrasi dan kesaksamaan juga akan menyebabkan Malaysia hilang pihak berkuasa moral untuk bercakap tentang kesaksamaan di pentas antarabangsa, sama ada berkaitan Palestin atau hal lain, kata Zaid.
Katanya, tidak patut langsung seorang wakil rakyat mencadangkan sesuatu yang umpama aparteid dengan cuba memasukkan unsur perkauman dalam undang-undang tertinggi negara.
Wan Fayhsal, yang juga ketua Pemuda Bersatu mencadangkan pindaan itu bagi mengembalikan keyakinan dalam kalangan orang Melayu yang bengang dengan kenyataan terbaru dibuat veteran DAP Lim Kit Siang berkenaan Perlembagaan Persekutuan tidak melarang bukan Melayu jadi perdana menteri.
Isu mengenai peluang bukan Melayu menjadi perdana menteri dibangkitkan Lim dalam satu ucapan kepada pelajar Malaysia di United Kingdom pada 29 November lalu.
Ucapan berkait gagasan “Impian Malaysia” itu menyebabkan Lim disiasat polis pada Selasa, yang seterusnya menimbulkan kemarahan sesetengah pemimpin DAP dan pertubuhan hak asasi.
Ekoran itu, Lim dikritik pemimpin Umno seperti Puad Zarkashi yang menyebut, veteran DAP itu sengaja menimbulkan isu perkauman.
Polemik itu seterusnya mengumpan pemimpin Perikatan Nasional seperti Wan Fayhsal untuk menuntut agar perlembagaan menjamin hanya orang Melayu dilantik menjadi perdana menteri
Zaid berkata pindaan seumpama itu akan akhirnya ditolak oleh mahkamah.
Katanya, pindaan itu akan bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang menegakkan prinsip kesaksamaan dalam undang-undang. – 15 Disember, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen