Presiden Jokowi hadir sidang kemuncak Asean-Jepun


Presiden Indonesia Joko Widodo akan menghadiri sidang kemuncak Asean-Jepun dan mesyuarat pemimpin-pemimpin negara bagi Pelepasan Sifar Asia. – Gambar EPA, 13 Disember, 2023.

PRESIDEN JJoko Widodo (Jokowi) akan melawat Jepun dari 16 hingga 18 Disember untuk menghadiri sidang kemuncak Asean-Jepun serta sambutan ulang tahun ke-50 Persahabatan dan Kerjasama Asean-Jepun, lapor agensi berita ANTARA.

Dalam sidang akhbar di Jakarta pada Selasa, jurucakap Kementerian Luar, Lalu Muhammad Iqbal, berkata Presiden Jokowi akan mempengerusikan bersama sidang itu dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida pada 17 Disember.

“Presiden Indonesia dan PM Jepun akan mengadakan sidang akhbar bersama selepas mesyuarat itu,” menurut Iqbal.

Beliau berkata sehari sebelum itu, (16 Disember), Jokowi akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Kishida.

Selain menghadiri sidang kemuncak Asean-Jepun, Jokowi juga akan menghadiri mesyuarat pemimpin-pemimpin negara bagi Pelepasan Sifar Asia (AZEC), katanya.

AZEC ialah platform kerjasama beberapa negara Asia untuk meningkatkan neutraliti karbon dan peralihan tenaga untuk mencapai sasaran pelepasan sifar.

Dalam rangka kerja AZEC, Jepun komited menyediakan sokongan kewangan sehingga AS$8 bilion sehingga 2030 untuk projek tenaga boleh baharu serta inisiatif penjimatan tenaga.

Negara AZEC terdiri daripada Australia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Jepun, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Pada pertemuan dua hala dengan Kishida, Jokowi akan berbincang mengenai pembinaan sistem pengangkutan darat MRT Laluan Timur-Barat Jakarta, peralihan tenaga, pembangunan infrastruktur hijau, rancangan untuk meningkatkan penghantaran pekerja mahir Indonesia ke Jepun, dan bantuan Jepun untuk pembangunan Nusantara, ibu negara baharu Indonesia.

Jepun merupakan rakan dagang kedua terbesar Indonesia pada 2022.

Menurut data Kementerian Perdagangan, jumlah dagangan antara Indonesia dan Jepun pada tahun itu mencecah AS$42 bilion dengan eksport Indonesia ke Jepun berjumlah AS$24.85 bilion dan import bernilai AS$17.17 bilion.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara dari Januari hingga September 2023 mencecah AS$28.2 bilion, manakala nilai pelaburan Jepun di Indonesia berjumlah AS$3.56 bilion pada 2022.​ – Bernama, 13 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen