Ramkarpal letak jawatan elak nepotisme dalam DAP, kata Loke


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata keputusan Ramkarpal Singh letak jawatan untuk beri laluan abangnya, Gobind kembali sebagai menteri, adalah dedikasi parti cegah nepotisme. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2023.

KEPUTUSAN Ramkarpal Singh untuk meletak jawatan secara sukarela apabila abangnya Gobind Singh Deo dilantik kembali sebagai menteri, menunjukkan dedikasi DAP dalam mencegah nepotisme dalam parti, kata setiausaha agung parti Anthony Loke.

Loke berkata keputusan Ramkarpal itu akan membantu mencegah sebarang konflik kepentingan dan pengiktirafan kepada kemampuan abangnya.

“Walaupun Ramkarpal memberi sumbangan besar dan membantu dalam memformulasikan perubahan perundangan dalam kementeriannya, beliau sanggup mengorbankan jawatannya untuk beri laluan kepada abangnya.

“Pengorbanan mengosongkan jawatan itu juga bagi mengelak kritikan nepotisme dalam DAP,” katanya kepada media selepas rombakan Kabinet hari ini.

Gobind kembali menjadi menteri perekutuan, sementara Ramkarpal meletak jawatan timbalan menteri yang disandangnya selepas setahun.

Loke turut menolak kritikan barisan Kabinet yang besar susulan rombakan itu, berkata keputusan berkenaan tidak akan memuaskan semua pihak.

“Bagaimana sekalipun keputusannya, akan ada pihak yang tidak setuju atau kritik. Perkara ini sudah dijangka.

“Ada desakan untuk menteri kewangan kedua dan kini sudah diwujudkan. Tetpai aka nada kritikan tentang kenapa Kabinet semakin besar,” katanya.

Rombakan itu menyaksikan jumlah menteri bertambah tiga orang, daripada 28 kepada 31 menteri.

Jumlah timbalan menteri juga bertambah daripada 27 kepada 29 orang. – 12 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen