Indonesia ulangi penegasan sokong Palestin di ibu pejabat UNHRC


Indonesia ulangi sokongan terhadap Palestin semasa Ulang Tahun ke-75 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat di Ibu Pejabat UNHRC di Switzerland, semalam. – Gambar EPA, 12 Disember, 2023.

MENTERI Luar Indonesia Retno Marsudi mengulangi sokongan republik itu terhadap Palestin semasa Ulang Tahun ke-75 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat di Ibu Pejabat Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Switzerland, pada Isnin, lapor Agensi Berita Antara.

“Pertama, sebagai ahli terpilih UNHRC, Indonesia menegaskan komitmennya untuk mengukuhkan perpaduan politik dan sokongan kemanusiaan untuk Palestin, termasuk dengan meningkatkan sumbangannya kepada UNRWA sebanyak tiga kali ganda,” menurutnya dalam kenyataan bertulis Kementerian Luar di sini pada Selasa.

UNRWA merujuk kepada Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin.

Marsudi berkata Indonesia komited untuk meneruskan proses ratifikasi Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Secara Paksa.

Menurut beliau Indonesia juga meratifikasi instrumen hak asasi manusia antarabangsa utama yang lain.

Indonesia juga komited untuk melindungi dan menghormati hak orang kurang upaya, termasuk dengan mengukuhkan peranan Suruhanjaya Kebangsaan Mengenai Orang Kurang Upaya (KND).

Selain itu, menteri berkenaan mengulangi komitmen Indonesia untuk melaksanakan Strategi Nasional bagi Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.

Dalam ucapannya, Marsudi turut menyampaikan komitmen negara-negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) serta Timor-Leste untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam hak asasi manusia.

“Kami komited untuk meningkatkan kerjasama serantau dalam hak asasi manusia, termasuk dengan melaksanakan Deklarasi Pemimpin-Pemimpin Asean mengenai Dialog Hak Asasi Manusia Asean yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak Asean ke-43,” katanya.

Sebanyak16 ketua negara dan kerajaan serta 20 pegawai peringkat menteri mengambil bahagian dalam sambutan Ulang Tahun ke-75 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat. – Bernama, 12 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen