BARISAN jemaah menteri dan ahli Parlimen mula tiba di Istana Negara bagi menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia yang dijadual berlangsung, petang ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi tiba pada kira-kira 2.40 petang.
Antara menteri yang kelihatan hadir ialah Mohamad Hasan, Mohamad Sabu, Mohamad Khaled Nordin, Anthony Loke, Armizan Mohd Ali, Fahmi Fadzil dan Dr Zambry Abd Kadir.
Turut kelihatan beberapa ahli Parlimen yang dijadual mengangkat sumpah jawatan menteri hari ini adalah Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo (Menteri Digital), Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi), Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan) dan Senator Amir Hamzah Azizan (Menteri Kewangan II).
Barisan menteri dan timbalan menteri baharu yang diumumkan Anwar hari ini akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Anwar hari ini mengumumkan pelantikan masing-masing lima menteri dan timbalan menteri, termasuk empat muka baharu dan penampilan semula lima bekas menteri dalam rombakan Kabinet kerajaan perpaduan.
Perdana menteri turut mengumumkan penyusunan semula kementerian berdasarkan keperluan semasa melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Kementerian Komunikasi dan Digital pula dipecahkan kepada masing-masing Kementerian Digital serta Kementerian Komunikasi. – Bernama, 12 Disember, 2023.
Komen