Pegawai MB Selangor akan didakwa kes komen konvoi TYT Melaka


Setiausaha akhbar kepada menteri besar Selangor, Jay Jay Denis akan didakwa di mahkamah di Melaka pada Khamis ini. – Gambar Facebook, 12 Disember, 2023.

SETIAUSAHA akhbar kepada menteri besar Selangor, Jay Jay Denis akan didakwa di mahkamah di Melaka pada Khamis ini berhubung satu komen yang dibuatnya di platform Twitter (sekarang dikenali sebagai X) tahun lepas berkaitan konvoi Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam.

Konvoi itu pada masa itu sedang melalui Lebuhraya Sprint.

Jay Jay memaklumkan beliau dihubungi pihak polis hari ini yang memberitahunya mengenai prosiding di Mahkamah Sesyen Alor Gajah berkaitan dengan komen yang dibuatnya pada 6 September, 2022.

“Setelah lebih setahun, pihak polis maklumkan saya akan didakwa hari Khamis ini di Mahkamah Alor Gajah, Melaka, berhubung posting saya di Twitter yang merujuk kepada TYT Melaka, Tun Ali Rustam,” tulis di X, hari ini.

Menurut Jay Jay, beliau diberitahu akan didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Saya maklumkan kepada pegawai penyiasat bahawa saya akan hadir secara rela di mahkamah pada Khamis ini.

“Mohon doa rakan-rakan semua,” tambahnya.

Pada 9 Oktober, 2022 Jay Jay dibawa polis dari Klang ke Alor Gajah untuk disiasat.

Ketua Polis Alor Gajah Arshad Abu ketika itu mengesahkan Jay Jay diambil keterangan untuk siasatan atas kesalahan bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.

Beliau dibebaskan selepas kenyataannya diambil. – 12 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen