Rakyat Mesir mengundi hari terakhir pilihan raya presiden


Rakyat Mesir keluar mengundi di hari terakhir pilihan raya presiden manakala penyandang Presiden Abdel-Fattah al-Sissi dijangka dipilih semula buat penggal ketiga. – Gambar EPA, 12 Disember, 2023.

RAKYAT Mesir keluar mengundi di hari terakhir pilihan raya presiden manakala penyandang Presiden Abdel-Fattah al-Sissi dijangka dipilih semula buat penggal ketiga, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Undian dibuka pada 9 pagi Ahad, 10 Disember dan berlangsung selama tiga hari hingga hari ini.

Pilihan raya tahun ini dibayangi perang Gaza dan krisis ekonomi yang teruk.

Selama beberapa minggu sebelum pilihan raya, pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk keluar mengundi di tengah-tengah kebimbangan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Pada Ahad, suruhanjaya pilihan raya mendedahkan peratusan keluar mengundi adalah tinggi dan “melebihi jangkaan”.

Undian bermula pada 9 pagi Selasa di seluruh Mesir dan berlangsung selama 12 jam. Keputusan rasmi dijangka diumumkan pada 18 Disember.

Selain al-Sissi, terdapat tiga calon lagi turut bertanding.

Pada 2013, pasukan tentera yang diketuai oleh al-Sissi menggulingkan Mohammed Morsi, presiden Mesir yang dipilih secara demokrasi.

Dalam pilihan raya pada 2014 dan 2018, El-Sisi meraih kemenangan besar dengan memperoleh 96% undi.

Penyokong melihatnya sebagai jaminan kestabilan di tengah-tengah kegawatan serantau. Pengkritiknya, bagaimanapun, menyalahkan beliau atas keadaan ekonomi yang merosot dan kurangnya kebebasan. – Bernama, 12 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen