Rombakan Kabinet 'hadiah tahun baharu' PMX?


G Manimaran

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kabinet pimpinannya berdepan cabaran besar sepanjang tahun pertama kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2023.

TEKA-TEKI mengenai rombakan Kabinet akhirnya akan menjadi kenyataan dalam beberapa jam lagi.

Berdasarkan laporan media sejak semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengumumkan perkembangan terbaharu ini sebelum majlis angkat sumpah di Istana Negara, yang dilaporkan akan berlangsung petang ini. 

Spekulasi akan ada rombakan Kabinet sudah menjadi perhatian banyak pihak sejak empat bulan lalu. Tetapi ia hanya kekal gosip dan spekulasi semata-mata.

Sebagai seorang perdana menteri, Anwar tidak mahu dianggap beliau “tunduk” kepada spekulasi dalam menetapkan rombakan.

Malah ada yang secara terbuka meminta agar beberapa menteri dan timbalan menteri digugurkan atas alasan gagal melaksanakan tugas mereka dengan efektif.

Selain itu, ada kekosongan ekoran kematian Salahuddin Ayub yang mengetuai portfolio hal ehwal pengguna dan kos sara hidup.

Ada yang sudah meramalkan langkah itu sebaik sahaja pilihan raya negeri yang diadakan pertengahan Ogos lalu selesai.

Ada yang beranggapan rombakan Kabinet kali ini akan melibatkan kemasukan menteri besar atau ketua menteri.

Ketua kerajaan negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga merupakan anggota Dewan Rakyat, dan mereka ada peluang untuk berbakti di peringkat persekutuan.

Anwar sendiri beberapa kali menafikan beliau akan membuat rombakan dalam waktu terdekat.

Dua minggu lalu beliau mengesahkan akan melakukan rombakan, tetapi ia akan dilakukan jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

Usia kerajaan perpaduan yang terdiri daripada 18 buah parti politik dan gabungan utama genap satu tahun minggu lalu.

Kerajaan perpaduan juga mengadakan sambutan “meraikan” tahun pertama dengan mengadakan majlis mendekati rakyat di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari Jumaat hingga Ahad lalu. Difahamkan program seumpama akan diadakan di seluruh negara dalam waktu terdekat.

Sebagaimana disebutkan dalam tulisan sebelum ini, Anwar merupakan satu-satunya perdana menteri yang berhadapan dengan ujian getir pada tahun pertama menerajui kerajaan.

Tidak pernah ada mana-mana perdana menteri yang berhadapan dengan situasi yang begitu sukar.

Keadaan itu secara langsung dan secara tidak langsung membawa kepada desakan supaya Anwar melakukan rombakan dan membawa masuk muka-muka baharu yang boleh berfungsi dengan efektif dalam memenuhi keperluan semasa.

Nampaknya, daripada sudut kepimpinan Anwar, beliau tiada pilihan untuk melakukan rombakan yang lama tertangguh disebabkan beberapa faktor termasuk sidang Parlimen sesi Oktober-Disember.

Anwar, yang juga menteri kewangan, bukan sahaja perlu memastikan keberkesanan perjalanan pentadbiran, tetapi juga memerlukan “vitamin” untuk memiliki kekuatan bagi memenuhi harapan rakyat. 

Beliau mememerlukan satu pasukan yang bertenaga untuk melihat hasil yang lebih membina.

Memang betul kita boleh melihat rekod luar biasa dalam tempoh satu tahun kepimpinan, tetapi pada hari ini rakyat mengharapkan impak dan hasil dengan segera. 

Sebab itu saya katakan, Anwar merupakan perdana menteri berhadapan dengan siri ujian getir sebagai perdana menteri, yang tidak pernah dilalui oleh mana-mana perdana menteri sebelum ini.

Anwar tiada pilihan lain selain harus membetulkan persepsi negatif banyak pihak ke atas kerajaan perpaduan dan barisan Kabinet pada hari ini.

Dalam hal ini, Anwar juga kelihatan terpaksa memenuhi permintaan dan tuntutan beberapa parti yang mahukan kerusi tambahan dalam Jemaah Mentei.

Malah, Anwar sendiri memerlukan anggota sokongan dalam meningkatkan keberkesanan portfolio kementerian kewangan.

Apa pun rombakan Kabinet pada hari ini dinantikan dengan penuh minat agar luar biasa berbanding ketika Anwar membentuk Kabinetnya setahun yang lalu.

Satu peluang untuk Anwar membaiki imej beliau dan kerajaan perpaduan.

Diharap rombakan ini akan menjadi hadiah tahun baharu PMX kepada rakyat.

Semoga ia akan membawa penambahbaikan yang lebih besar untuk rakyat dan negara, sekali gus membantu Anwar menangani kekurangan-kekurangan yang wujud sepangan tahun lalu. β€“ 12 Disember, 2023.
 

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen