Prabowo-Gibran dahului tinjauan terkini pilihan raya presiden Indonesia


Prabowo Subianto (kiri) dan Gibran Rakabuming Raka menjadi gandingan utama dalam tinjauan simulasi pemilihan bagi Pilihan Raya Presiden Indonesia 2024 baru-baru ini. – Gambar EPA, 12 Disember, 2023.

PRABOWO Subianto dan Gibran Rakabuming Raka menjadi gandingan utama dalam tinjauan simulasi pemilihan bagi Pilihan Raya Presiden Indonesia 2024 baru-baru ini.

Berdasarkan tinjauan Indikator Politik Indonesia, sokongan terhadap Prabowo-Gibran menyaksikan peningkatan sehingga 6%, iaitu 45.8% berbanding bulan lalu.

Sebaliknya, Ganjar Pranowo dan Mahfud Md mencatatkan penurunan sehingga 5%, iaitu pada kadar 25.6%, manakala Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar kekal pada 22.8%.

Tinjauan dijalankan dari 23 November hingga 1 Disember secara bersemuka membabitkan 5,380 responden dan menggunakan kaedah pensampelan rawak dengan margin ralat ±2.9% dan tahap keyakinan 95%.

Sokongan terhadap gandingan Prabowo-Gibran semakin meningkat merentasi semua peringkat umur termasuk Generasi X, milenium dan baby boomer dan kekal konsisten dalam kalangan pengundi Islam dan bukan Islam.

Meskipun pilihan raya pusingan pertama masih tidak menentu, Indikator Politik Indonesia menyuarakan keyakinan bahawa kedua-dua individu terbabit akan melayakkan diri dalam pusingan seterusnya.

Sementara itu, Lembaga Survei Indonesia mendedahkan bahawa sokongan untuk Prabowo-Gibran meningkat sebanyak 9.7% kepada 45.6% pada Disember berbanding tinjauan yang dilakukan pada Oktober.

Ganjar-Mahfud menduduki tempat kedua dengan 23.8%, diikuti rapat Anies-Muhaimin dengan 22.3%.

Tinjauan yang dijalankan dari 3-5 Disember itu membabitkan 1,426 responden melalui panggilan telefon, dengan margin ralat dianggarkan sekitar 2.6% pada tahap keyakinan 95%.

Rakyat Indonesia akan mengundi pada 14 Februari depan bagi memilih pemimpin seterusnya menggantikan Presiden Joko Widodo yang akan menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober 2024. – Bernama, 12 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen