India tolak laporan 'memo rahsia' sebelum kes bunuh aktivis Sikh di Kanada


Hardeep Singh Nijjar, warga Kanada yang berasal dari India ditembak mati oleh penyerang tidak dikenali di pinggir bandar Vancouver pada Jun lalu. – Gambar AFP, 11 Disember 2023.

KERAJAAN India menolak laporan “yang sengaja direka” mendakwa ia menghantar “memo rahsia” mengarahkan konsulatnya di Amerika Utara supaya melancarkan “skim tindakan keras yang canggih” terhadap kumpulan-kumpulan Sikh di negara-negara Barat.

“Kami menegaskan laporan itu palsu dan sengaja direka. Tidak ada memo sedemikian,” kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Ahad.

“Ini adalah sebahagian daripada kempen maklumat palsu berterusan terhadap India,” kata kementerian itu.

Portal berita The Intercept pada Ahad melaporkan Kementerian Luar India pada April 2023 menulis memo yang menyenaraikan beberapa penentang Sikh yang sedang disiasat oleh agensi perisikan India.

Senarai itu termasuk Hardeep Singh Nijjar, warga Kanada yang berasal dari India, yang ditembak mati oleh penyerang yang tidak dikenali di pinggir bandar Vancouver pada Jun, menurut laporan The Intercept.

”Langkah-langkah tegas perlu diambil bagi memastikan suspek bertanggungjawab,” menurut memo itu seperti dalam laporan (The Intercept). – Bernama, 11 Disember 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen