Polis ambil sampel di rumah keluarga Zayn Rayyan


PASUKAN unit forensik kontinjen Selangor hadir di kediaman kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartment Idaman, Damansara Damai untuk mengambil sampel bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu.

Pasukan itu bersama tiga anggota polis berpakaian preman dilihat tiba sekitar jam 4.20 petang dengan membawa satu kotak berwarna hitam memasuki blok kediaman Zayn Rayyan di tingkat 2 pangsapuri itu.

Sebelum itu, ibu bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan dan Ismanira Abdul Manaf, juga dilihat sampai di kawasan apartmen berkenaan sebelum bersama pasukan polis memasuki kediaman mereka.

Selepas hampir 45 minit berada di dalam rumah keluarga itu, tiga anggota polis yang tidak beruniform itu dilihat keluar dari blok kediaman itu dengan dua daripadanya membawa empat beg kertas berwarna coklat dipercayai mengandungi sampel, manakala pasukan forensik pula membawa kotak berwarna hitam.

Pasukan forensik meninggalkan kawasan berkenaan pada jam 5 petang dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda manakala tiga anggota polis itu turut meninggalkan tempat itu sejurus kemudian dengan kenderaan berasingan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya mengambil sampel dari kediaman keluarga Zayn Rayyan, namun enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, Hussein memaklumkan pihaknya mengambil keterangan 28 lagi individu hari ini bagi membantu siasatan kes itu, menjadikan keseluruhan 48 individu dirakam percakapan setakat ini.

Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lalu di Damansara Damai sebelum ditemukan meninggal dunia dekat aliran anak sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya. – Bernama, 10 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen