LEBIH 300 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mendarat di pantai barat Indonesia hari ini selepas menongkah laut selama berminggu-minggu, yang terbaru dalam gelombang ketibaan terbesar sejak 2015.
Sekumpulan 180 pelarian dari kaum minoriti Myanmar itu tiba dengan bot pada 3.00 pagi waktu tempatan di sebuah pantai di wilayah Pidie, Aceh.
Sebuah lagi bot yang membawa 135 pelarian mendarat di wilayah jiran Aceh Besar beberapa jam kemudian selepas berada di lauatan selama lebih sebulan.
Pelarian Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam menjadi sasaran kekejaman tentera Myanmar pada 2017 yang menjadi topik utama siasatan pembunuhan beramai-ramai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kira-kira sejuta sudah melarikan diri ke Bangladesh, dan dari situ ribuan mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun demi belayar dalam tempoh lama untuk sampai ke Malaysia atau Indonesia.
“Kami berada di laut selama hampir sebulan 15 hari. [...] Kami bertolak pada 1 November,” kata pelarian Muhammad Shohibul Islam berusia 24 tahun kepada AFP.
Pelarian berkumpul di ladang bersebelahan pantai, di mana mereka minum air yang diberikan penduduk tempatan.
Ada yang berbaring di atas tanah, cuba berehat selepas pelayaran mereka.
Polis menemui timbunan kad pelarian PBB dalam kotak kadbod yang dibawa oleh pelarian, demikian menurut seorang wartawan AFP.
“Kami menyedari sebahagian pelarian ini mempunyai kad pelarian. Jadi, biarlah mereka didaftarkan semula terlebih dahulu oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penghijrahan dan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi [sebelum kami bertindak lebih lanjut],” kata ketua polis tempatan Rolly Yuiza Away ketika dihubungi. – AFP, 10 Disember, 2023.
Komen