Percubaan 'tebuk atap' akan gagal, kata Anwar


Anwar Ibrahim ketika merasmikan majlis penutup program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini. – Gambar Jabatan Penerangan, 10 Disember, 2023.

ANWAR Ibrahim berkata percubaan terdesak pembangkang untuk langkah ‘tebuk atap’ tidak akan berjaya kerana kerajaan perpaduan yang diterajui 18 parti komponen mempunyai ‘bumbung yang konkrit’.

Sepanjang setahun menerajui kerajaan, perdana menteri mengakui tidak pernah sekalipun berlaku pertelagahan disebabkan perbezaan dasar parti masing-masing.

“Bumbung kita bumbung konkrit. Sekarang ini di Putrajaya tidak ada tebuk atap.

“Percubaan tebuk atap ni, ada yang kata Ogos tetapi saya fikir kita ada kekuatan. Saya dalam Jemaah Menteri belum ada sekalipun pertelagahan atas nama perbezaan parti, perbezaan pendapat masing-masing ada,” katanya pada sesi dialog majlis perasmian penutupan program Setahun Bersama Kerajaan Madani.

Sesi itu turut disertai kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof.

Anwar berkata berdasarkan kekuatan parti komponen, kerajaan akan memberikan tumpuan penuh untuk mengangkat Malaysia sebagai negara maju dan hebat di rantau ini.

Sementara itu, perdana menteri berkata pandangan masyarakat beliau bekerja sendirian untuk menguruskan negara tidak benar dan ia satu persepsi yang perlu diubah.

Katanya, setiap Jemaah Menteri memainkan peranan penting dalam mengemudi kementerian masing-masing dan beliau sendiri tidak terbabit secara langsung.

“...itu sebab kita adakan pameran ini (Program Setahun Bersama Kerajaan Madani) supaya dilihat peranan setiap kementerian. Kita bermesyuarat setiap minggu, mengenai ekonomi, kewangan, KKR (Kementerian Kerja Raya), kesihatan, pendidikan, komoditi, MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri).

“Kalau tengok MITI, ratusan bilion, itu bukan kerja Anwar seorang, tidak mungkin… Itu maknanya menteri berkenaan (bekerja keras),” katanya.

Sementara itu, Zahid berkata semua parti kekal memberikan dukungan penuh kepada Anwar untuk terus menerajui pimpinan kerajaan Madani.

“Malah dalam setiap mesyuarat, sekretariat memberikan laporan, jika pun terdapat perbezaan pandangan di akar umbi, maka itu bukan pendapat parti tetapi pendapat individu,” katanya.

Turut senada, Fadillah berkata semua parti komponen akan bersama-sama kerajaan perpaduan untuk bergerak maju mentadbir negara serta fokus kepada usaha meningkatkan kekuatan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

“Satu tahun dah kita capai, insya-Allah dalam empat tahun kita akan menjadi sebuah negara lebih makmur, kesejahteraan rakyat akan terpelihara. Berilah sokongan kepada kita, kita akan bekerja lebih keras lagi,” katanya. – Bernama, 10 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen