Pulau Pinang tambak 161 hektar tanah di Silicon Island setiap tahun, kata KM


Kerja penambakan Silicon Island di selatan Pulau Pinang yang berkeluasan 930 hektar dijangka siap menjelang 2032. – Gambar Facebook Chow Kon Yeow, 10 Disember, 2023.

KERAJAAN negeri Pulau Pinang menyasarkan untuk menambak kira-kira 161.87 hektar tanah setiap tahun bagi projek Silicon Island dan berhasrat untuk memulakan pembinaan kilang pertama di pulau itu seawal 2026.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kawasan seluas 2.02 hektar berjaya ditambak sejak kerja penambakan bermula pada awal Oktober lalu dengan menggunakan dua bot yang mempunyai kapasiti mengangkut pasir sebanyak 7,000 kubik meter setiap satu.

“Tahun depan, kerja penambakan akan ditingkatkan dengan menambah dua lagi bot yang mempunyai kapasiti lebih besar iaitu 20,000 kubik meter setiap satu.

“Usaha ini supaya proses itu akan mencapai kemajuan lebih cepat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis jejak langkah Penang South Island (PSI) di Georgetown hari ini.

Justeru, beliau berkata kerajaan negeri menjangkakan komponen tanah boleh siap dalam 8 hingga 10 tahun bagi membolehkan kerja pembinaan infrastruktur penting bermula seperti jambatan sementara menghubungkan selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke pulau itu yang kini cuma boleh diakses melalui bot.

Chow turut yakin projek Silicon Island akan mengulangi kejayaan FIZ Bayan Lepas yang membawa pembaharuan kepada ekonomi Pulau Pinang lebih 50 tahun lalu.

“Pada hari ini, kita masih lagi merasai dan bergantung kepada sumbangan FIZ Bayan Lepas yang membekalkan produk elektrik dan elektronik (E&E) kepada pasaran dunia.

“Oleh itu, tidak dinafikan kita memerlukan Silicon Island untuk mengembangkan lagi tanah perindustrian di Bayan Lepas bagi menjamin perkembangan serta peningkatan daya saing sektor pembuatan E&E negeri kita yang terkemuka,” katanya.

Silicon Island akan melihat pembangunan taman perindustrian berteknologi tinggi Green Tech Park (GTP); hab perkhidmatan perniagaan global dan perisian (atau GBS Campus); pembangunan komersial; perumahan serta kawasan rekreasi hijau yang dijangka bakal menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM1.1 trilion, pelaburan sebanyak RM74.7 bilion serta 220,000 peluang pekerjaan.

Kerja penambakan Silicon Island di selatan Pulau Pinang yang berkeluasan 930 hektar dijangka siap menjelang 2032 manakala keseluruhan pembangunan akan mengambil masa kira-kira 25 tahun.

Terdahulu, Chow, Timbalan Ketua Menteri 1 Mohamad Abdul Hamid dan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri mengiringi Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak melawat tapak penambakan itu. – Bernama, 10 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen