PASANGAN suami isteri warga emas ditemukan maut dipercayai ditikam anak lelaki kandung dalam pergaduhan di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur malam ini.
Menurut sumber polis, pasangan suami isteri berusia 82 dan 72 tahun itu ditemukan terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.
Sumber berkata, berlaku pertengkaran antara pasangan berkenaan dan anak lelaki mereka berusia 42 tahun yang dipercayai penagih dadah pada sekitar jam 7 malam.
“Dalam pergaduhan itu, anak lelaki itu dikatakan mengambil senjata tajam sebelum menikam kedua ibu bapa menyebabkan mereka mengalami kecederaan parah.
“Jiran yang menyedari kejadian segera menghubungi polis untuk bantuan,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Bagaimanapun, sumber berkata, sebaik pasukan polis tiba, kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia dan polis berjaya menahan suspek di lokasi kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Selain itu, pemerhatian di lokasi mendapati pasukan forensik sedang giat melakukan siasatan dan mayat pasangan itu masih berada di dalam rumah. – Bernama, 9 Disember, 2023.
Komen