Ibu akan lapor polis remaja lari asrama didakwa dibuli


Pelajar yang melarikan diri dari asrama sekolah ditemui dalam keadaan lemah di depan Masjid Saidina Othman Affan, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. – Gambar Facebook, 9 Disember, 2023.

IBU kepada Muhammad Daniel Akmal Zulkhairi, 14, yang melarikan diri dari asrama sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur kerana mendakwa tidak tahan dibuli, akan membuat laporan polis dalam masa terdekat berhubung kejadian yang berlaku kepada anaknya.

Shuhada Jamaludin, 38, berkata pihaknya akan berbuat demikian selepas keadaan anaknya yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, berada dalam keadaan stabil.

“Doktor kata buat masa ini keadaan anak saya masih belum stabil dan perlukan rehat, selepas dia benar-benar sihat baru saya akan buat laporan polis mengenai kejadian buli yang dialami anak saya. Saya mahukan keadilan untuk anak saya.

“Buat masa ini saya tidak mahu desak dia untuk bercerita, saya tunggu emosi dan keadaan dia stabil dahulu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Shuhada, anak sulung daripada tiga beradik itu sebelum ini pernah mengadu dia dibuli, namun beliau menganggapnya tidak serius dan memintanya menyelesaikan masalah yang dialami dengan individu berkenaan secara baik.

Bagaimanapun beliau tidak menyangka anaknya tertekan dengan perkara itu hingga bertindak nekad melarikan diri dari asrama sekolah pada jam 3 pagi dalam keadaan sehelai sepinggang sebelum dijumpai dalam keadaan tidak bermaya di pondok menunggu bas di hadapan Masjid Saidina Othman Affan, Bandar Tun Razak malam semalam.

Ditanya sama ada Kementerian Pendidikan (KPM) ada menghubungi beliau mengenai kejadian berkenaan, Shuhada berkata setakat ini tiada mana-mana individu daripada kementerian menghubunginya.

KPM dalam kenyataannya malam ini memaklumkan kementerian sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan kejadian buli membabitkan pelajar berkenaan dan akan memastikan perkara itu diselesaikan segera.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Cheras Zam Halim Jamaluddin berkata, Muhammad Daniel dilaporkan hilang dari kawasan sekolah di Cheras pada Khamis lalu. – Bernama, 9 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen