Bekalan bawang negara mencukupi, kata menteri


Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi jaminan bekalan bawang tidak terjejas selepas India melarang eksport bawang bermula semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2023.

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan bawang tidak akan terjejas susulan kerajaan India mengeluarkan larangan eksport bawang bermula semalam.

Menterinya Mohamad Sabu berkata pihaknya sudah membuat persiapan awal jika perkara sebegitu berlaku.

“Saya belum mendapat pengesahan rasmi, namun saya jamin tidak akan berlaku kekurangan bekalan bawang di negara ini.

“Bekalan (bawang) ada sahaja kerana kita turut import dari China, Thailand dan Pakistan serta beberapa negara lain,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan konvensyen Amanah Negeri Melaka 2023 di Melaka hari ini.

Berhubung isu sama ada akan berlaku kenaikan harga makanan itu, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata perkara itu di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Bernama hari ini memetik laporan Direktorat Perdagangan Luar Negeri India yang menyatakan kerajaan India memutuskan untuk memindahkan eksport bawang daripada kategori bebas kepada larangan hingga 31 Mac tahun depan, bagi meningkatkan bekalan domestik.

Kenaikan harga makanan berkenaan boleh menjadi isu yang mencetuskan pergolakan politik terutama menjelang pilihan raya Parlimen di negara itu tahun depan.

India adalah pengeksport terbesar bawang ke negara ini iaitu 36%, manakala China dan Thailand masing-masing sebanyak 20% dan 7%. – Bernama, 9 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen