POLIS Selangor hari ini mengesahkan wanita yang disimen dalam kolah sebuah rumah di Kampung Pendamar, Klang minggu lalu adalah kekasih suspek utama Mandeep Singh, seorang warga India.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, mangsa yang juga dikenal pasti sebagai warga India berusia 30-an, menetap di rumah itu bersama Mandeep yang kini diburu polis.
“Wanita yang berketinggian 1.60 meter itu dipercayai dibunuh sebelum disimen di lokasi berkenaan. Kami masih siasat berkaitan perkara itu.
“Butiran suspek (Mandeep) diketahui dan waran tangkap akan diperoleh. Polis juga akan minta bantuan Pesuruhjaya Tinggi India dan polis negara itu untuk mengesan dan tangkap suspek ini,” katanya ketika dihubungi.
Hussein berkata, setakat ini polis merekodkan keterangan daripada 10 individu.
Pada 4 Disember lalu, polis mengesahkan penemuan mayat dalam keadaan disimen di dalam sebuah kolah di sebuah rumah di Kampung Pendamar dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis juga sedang mengesan dua lelaki warga asing iaitu Ranjit Singh dan Mandeep yang juga penyewa di rumah berkenaan. – Bernama, 9 Disember, 2023.
Komen