KKM teruskan SOP Covid-19, kata menteri


Dr Zaliha Mustafa berkata, buat masa ini peningkatan kes Covid-19 hanya membabitkan kes kecil dan gejala ringan. – Gambar Facebook Dr Zaliha Mustafa, 9 Disember, 2023.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan meneruskan prosedur operasi standard (SOP) di semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka akibat banjir bagi mengekang penularan Covid-19.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata, ia berikutan adanya peningkatan kes ketika ini, namun jumlah berkenaan terkawal dan masih belum di tahap membimbangkan.

Beliau berkata, kakitangan KKM di PPS juga maklum mengenai SOP sedia ada termasuk menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas penduduk terjejas banjir terutama yang mempunyai gejala.

“Dalam keadaan banjir memang kita bersedia, menyediakan kit untuk ujian Covid-19. Seperti biasa, kalau ada kes begitu kita akan buat isolasi dan kita asingkan, SOP tetap sama, insya-Allah.

“Buat masa ini, peningkatan kes ketika ini hanya membabitkan kes kecil dan gejala ringan,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai SOP yang perlu dipatuhi terutama di lokasi banjir bagi mengelak penularan Covid-19.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Felda Medoi Agrofest 2023, sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia dan program saringan kesihatan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Medoi di Segamat, Johor hari ini.

Ahli Parlimen Sekijang itu berkata, pada minggu EPID-47 terdapat pertambahan kes Covid-19 sehingga 3,626 kes berbanding 2,305 kes pada minggu sebelumnya.

Sementara itu, beliau berharap lebih banyak PEDi di seluruh negara dapat melaksanakan program saringan kesihatan bagi penyakit tidak berjangkit khusus untuk penduduk.

“Pemeriksaan kesihatan penduduk membabitkan bacaan BMI, tekanan darah, kencing manis dan kolestrol itu penting bagi memperkasakan penjagaan kendiri dan kesedaran awal dalam kalangan komuniti setempat,” katanya.

Di Parlimen Sekijang sahaja, beliau berkata seramai 321 penduduk mendapatkan saringan kesihatan di empat PEDi bermula 5 Disember hingga semalam. – Bernama, 9 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen